Resepi Kuih Bakar Berlauk Yang Marvelous!
Ini resepi kuih yang dah lama tertangguh untuk shooting, sejak dari lepas raya lagi.
Alhamdulillah, akhirnya settle juga projek membuat kuih bakar berlauk ni, memang sesuai sangat buat kuih bakar berlauk ni kalau kat rumah ada stok santan, daging cincang, daun sup dan daun bawang.
Resepi kuih bakar berlauk ini agak istimewa kerana saya letak pasta di dalamnya.
Biasanya kuih bakar ni kita bakar menggunakan loyang kemboja, tapi kali ni saya bakar guna loyang muffin.
Asalnya saya teringin nak buat kuih cara berlauk.
Tapi bila kenangkan lecehnya nak memasak kuih cara ni yang menggunakan loyang bahulu dan dimasak di atas dapur, malas pula saya nak buat.
Sudahnya, saya buat je kuih bakar berlauk ni, pakai loyang muffin, cepat dan mudah!
Sebelum ini saya pernah berkongsi resepi kuih cara berlauk di dalam blog saya yang lagi satu, kalau nak tengok resepi kuih cara berlauk boleh klik link di bawah ni.
Resepi Kuih Cara Berlauk:
https://thelynalina.blogspot.com/2019/05/kuih-cara-berlauk-yang-sangat-sedap.html
Kuih bakar berlauk ni kalau nak sedap memang kena pakai daging cincang.
Tapi kalau tak boleh makan daging, boleh juga kalau nak gantikan dengan ayam cincang.
Untuk lebih mudah, beli je daging cincang readymade di pasaraya tu, tak perlu nak cincang sendiri. Hihi..
Untuk adunan kastadnya, biasanya saya akan pakai santan krim yang dalam kotak tu je, berjenama KARA.
Kalau nak pakai santan segar pun boleh, tapi kuih akan lebih cepat basi.
Adunan kastad untuk kuih bakar berlauk saya kali ni saya campurkan dengan susu segar dan krim santan supaya kastadnya lebih sedap.
Saya menggunakan marjerin Planta yang dicairkan terlebih dahulu.
Kalau nak ganti dengan minyak masak atau minyak sapi pun boleh, mengikut citarasa masing-masing ya.
Seperti biasa, untuk step-by-step tutorialnya boleh tonton menerusi pautan video yang saya dah upload di channel YouTube saya di bawah ni:
Untuk resepi bertulisnya, jom semak resepi lengkapnya di bawah ini.
Selamat mencuba!
Kuih Bakar Berlauk
Kategori : Kuih Melayu
Jumlah Hidangan : 21 keping
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Memasak & Membakar : 1 jam
BAHAN-BAHAN
Untuk Pasta:
1 cawan pasta (boleh pakai pasta spiral, makaroni atau pasta riben)
1/4 sudu teh garam
Beberapa titik minyak sayuran
Air secukupnya untuk merebus pasta
Untuk Bawang Goreng:
6 ulas bawang merah (hiris nipis dan leraikan)
2 ulas bawang putih (hiris nipis)
2 sudu besar tepung jagung | 14 gram
1/2 sudu teh gula pasir
1/4 sudu teh garam
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Untuk Inti Daging:
1 biji bawang besar (potong dadu)
2 ulas bawang putih (tumbuk/parut)
1 inci halia (tumbuk/parut)
300 gram daging cincang (1 tiub)
4 sudu besar serbuk rempah kari daging (saya pakai jenama Faiza)
Serbuk lada hitam kasar secukupnya (optional)
Garam secukupnya
3 ke 4 sudu besar minyak bawang goreng untuk memasak
Untuk Kastad:
3 biji telur gred B
1 ke 1 1/2 sudu teh garam | 6 ke 9 gram
1/2 cawan susu segar | 125 ml (boleh ganti dengan susu penuh krim/susu sejat)
1 kotak kecil santan krim | 200 ml (boleh ganti dengan santan pekat)
2 sudu besar tepung jagung | 14 gram
2 cawan tepung gandum | 250 gram
2 1/2 cawan air | 625 ml
1/4 cawan marjerin cair | 57 gram (boleh ganti dengan mentega/minyak sapi/minyak masak)
1/2 sudu teh pewarna kuning (optional)
Bahan Hiasan:
Hirisan daun sup & daun bawang
Hirisan lada merah
CARA PENYEDIAAN
Untuk Pasta:
Didihkan air di dalam periuk kecil (agak-agak muat nak rebus pasta).
Masukkan pasta, garam dan beberapa titis minyak masak. Gaul sebati dan rebus dengan api sederhana selama lebih kurang 7 ke 8 minit, sehingga pasta lembut tapi masih kenyal (al-dente).
Setelah pasta masak, tapis pasta tadi. Ketepikan sementara kita siapkan bahan lain.
Untuk Bawang Goreng:
Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
Sementara itu, gaul rata hirisan bawang kecil bersama hirisan bawang putih dengan garam, gula pasir dan tepung jagung. Pastikan hirisan bawang kering dan tidak berair untuk menghasilkan bawang goreng yang rangup. Kalau berair, teka-tekan hirisan bawang dengan tisu dapur sehingga kering.
Apabila minyak telah cukup panas, masukkan bawang dan goreng dengan api sederhana hingga keperangan. Kacau selalu supaya bawang goreng masak dengan rata. Hati-hati jangan sampai bawang goreng hangus supaya tidak pahit.
Tapis bawang goreng untuk membuang lebihan minyak sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara setelah ianya sejuk.
Untuk Inti Daging:
Tinggalkan 3 ke 4 sudu besar minyak bawang goreng di dalam kuali dan panaskan.
Setelah minyak panas, tumis bawang besar yang dipotong dadu bersama halia dan bawang putih sehingga naik bau menggunakan api sederhana tinggi.
Masukkan daging cincang dan masak sehingga daging mengeluarkan jusnya. (Tak perlu tambah air).
Setelah daging mengeluarkan jusnya, masukkan serbuk rempah kari daging, serbuk lada hitam kasar dan perasakan dengan garam. Masak sehingga inti daging garing.
Untuk Kastad:
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan 3 biji telur. Kocok/whisk bersama garam sehingga berbuih.
Masukkan susu segar/sejat/penuh krim dan krim santan/santan pekat dan whisk lagi hingga sebati.
Masukkan tepung jagung dan tepung gandum dan whisk sehingga adunan tidak berketul.
Masukkan air sedikit demi sedikit dan whisk hingga adunan licin.
Masukkan marjerin/mentega/minyak sapi cair atau minyak masak, diikuti dengan pewarna kuning (jika pakai) dan whisk hingga sebati.
Membentuk & Membakar Kuih Bakar Berlauk:
Panaskan ketuhar pada suhu 200℃.
Oles loyang muffin dengan marjerin/mentega/minyak sapi secukupnya.
Tuang kastad memenuhi 1/3 lobang muffin.
Masukkan sedikit pasta, diikuti dengan beberapa 1 ke 2 sudu besar daging cincang dan tabur dengan sedikit bawang goreng di atasnya.
Tuang kastad memenuhi lubang muffin dan hias dengan hirisan daun sup dan daun bawang, hirisan lada merah dan bawang goreng.
Bakar kuih cara selama 30 minit, menggunakan api atas bawah dan bakar pada rak tengah.
Setelah kuih masak, biarkan ianya sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.
Kuih bakar berlauk sedia dihidang!
Cara Menyimpan Kuih Bakar Berlauk:
Kuih bakar berlauk yang tak habis dimakan boleh disimpan di dalam bekas.
Lapik dengan plastik atau kertas minyak untuk setiap lapisan dan simpan di dalam peti sejuk.
Kuih bakar boleh tahan selama 3 ke 4 hari jika disimpan di dalam peti sejuk.
Saya tak galakkan untuk frozen sebab rasanya dan teksturnya akan berubah.
Cara Memanaskan Kuih Bakar Berlauk:
Untuk memanaskan kuih bakar berlauk, ada 2 cara.
Pertama, gunakan ketuhar. Bakar semula kuih bakar berlauk pada suhu 180℃ selama 5 ke 10 minit, sehingga kuih bakar terasa panas bila disentuh.
Cara kedua ialah menggunakan microwave. Panaskan kuih bakar selama 1 ke 2 minit, atau sehingga kuih bakar terasa hangat bila disentuh.
0 comments :
Post a Comment