Resepi Roti Sandwich aka Roti Putih Mudah
Selalu asyik kongsi resepi bun dan roti savory, kali n isaya akan berkongsi cara saya membuat roti putih atau roti sandwich yang mudah, lepas ni confirm tak perlu beli lagi roti putih di kedai. Hihi..
Cara untuk mendapatkan roti putih yang cantik berbentuk segiempat sama anda perlu beli loyang yang khas untuk membuat roti jenis loaf yang siap dengan penutupnya tu.
Boleh beli di kedai bakeri atau pun order je di Shoppe ataupun Lazada.
Tekstur roti putih ni pejal dan tidak lembik, meliuk lentok, walaupun begitu, roti ini mengajal dan lembut, memang sangat sesuai untuk dibuat sandwich atau roti bakar.
Bila teksturnya pejal, roti mudah di masukkan ke dalam toaster untuk dibakar, takdelah meliuk lentok je roti tu.
Mula-mula saya cadang nak buat sandwich tuna dan telur menggunakan roti putih yang saya buat ni untuk video yang seterusnya.
Alih-alih bila saya bukak je tin tuna tu, tunanya dah rosak! Sayangnya..
Silap saya juga sebab tak simpan tuna flakes tu dalam freezer.
Lain kali kalau beli tuna flakes yang dalam tin besar tu bolehlah asingkan kepada beberapa bahagian dan masukkan ke dalam bekas kecil.
Kemudian, simpan je dalam freezer.
Bila nak pakai defrostlah dahulu sebelum digunakan.
Kalau masuk freezer boleh tahan berbulan-bulan.
Resepi ini saya adaptasi daru Youtuber Savor Easy yang popular dengan rotinya tu.
Resepi asal menggunakan tepung gandum, tapi saya gunakan tepung roti supaya roti saya lebih ringan.
Kuantiti gulanya juga saya kurangkan kerana saya lebih suka roti putih yang tidak terlalu manis untuk dipadankan dengan inti yang savory.
Bagi yang suka crust roti yang lebih garing, boleh panjangkan tempoh membakar.
Untuk menonton step-by-step tutorial membuat roti putih tanpa mixer ni boleh tonton video di bawah:
Cepat je roti putih ni habis.
Saya buat sandwich sardin mayonis dengan telur untuk sarapan pagi.
Kadang- kadang, kalau malas, saya suka makan roti putih ni sapu dengan Planta, kemudian tabur sedikit gula di atasnya.
Ringkas dan sedap, semestinya Planta menjadi pilihan kami sekeluarga.
Tanpa membuang masa, jom kita semak resepi.
ROTI SANDWICH / ROTI PUTIH
Kategori : Roti & Pizza
Masa Penyediaan: 15 minit
Masa Membakar: 40 minit
BAHAN-BAHAN:
1 cawan susu segar/susu sejat/susu penuh krim (suam) | 235 ml
1 biji telur (saya pakai gred A)
3 sudu besar gula pasir | 37.5 gram
2 & 1/4 sudu teh yis kering segera | 7.5 gram
3 & 1/4 cawan tepung roti/gandum | 405 gram
1 sudu teh garam | 6 gram
1/4 cawan mentega/marjerin (saya pakai Planta) | 57 gram
CARA MEMBUAT
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan susu suam, telur, gula pasir dan yis kering segera. Kacau sebentar hingga sebati.
Masukkan tepung gandum/tepung roti dan garam, gaul dengan spatula sehingga menjadi doh kasar yang sedikit melekit.
Tutup mangkuk dengan kain bersih, dan rehatkan selama 10 minit supaya mudah untuk mengadun doh bersama mentega/marjerin nanti.
Selepas 10 minit, masukkan mentega/marjerin dan gaul menggunakan spatula dahulu sehingga mentega/marjerin sebati dengan doh.
Pindahkan doh ke atas papan pencanai/meja kerja yang telah ditabur tepung secukupnya. Uli menggunakan kaedah regang dan tarik atau "stretch and fold" sehingga doh menjadi elastik dan tidak mudah koyak. (Saya ambil masa dalam 12 minit untuk menguli doh). Tambah sedikit tepung jika doh terlalu melekit.
Setelah doh menjadi elastik, bulatkan doh dan letak di dalam mangkuk pengadun bersih yang telah dioles minyak. Ratakan minyak ke seluruh permukaan doh.
Tutup mangkuk doh dengan tuala lembap atau cling wrap dan rehatkan doh di tempat suam selama 1 jam, sehingga doh kembang dua kali ganda.
Setelah doh roti mengembang dua kali ganda, tumbuk-tumbuk doh dan uli sebentar untuk mengeluarkan angin di dalam doh.
Bahagikan doh kepada 3 bahagian dan bulat-bulatkan setiap bahagian. Tutup bebola doh dengan tuala bersih dan rehatkan sebentar selama 5 hingga 10 minit supaya doh mudah dicanai dan tidak mengecut sewaktu dicanai.
Selepas 5 ke 10 minit, ambil satu bebola doh dan canai setebal 1 cm berbentuk segi empat panjang. Tak perlu terlalu tepat bentuknya pun takpe sebab nanti kita akan gulung.
Lipat kedua-dua bahagian tepi (yang lebih panjang) ke dalam, kemudian, tekan kedua-dua bahagian tepi (yang lebih pendek) dengan jari untuk nipiskan bahagian hujungnya supaya gulungan kemas.
Gulung doh roti dengan ketat, bermula dari bahagian hujung yang paling dekat dengan anda terus hingga ke bahagian hujung doh yang paling jauh dengan anda. Picit hujung gulungan supaya gulungan tidak terbuka.
Masukkan doh roti yang telah digulung ke dalam loyang roti (saiz 8" x 4" x 4") yang telah diglis dengan mentega/marjerin. Pastikan bahagian yang anda pict hujungnya berada di bawah.
Ulang langkah yang sama untuk membuat gulungan roti yang kedua dan ketiga.
Tutup loyang roti dengan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan lagi selama 25 minit, atau sehingga roti mengembang sebanyak 80% dari ketinggian loyang. Pastikan anda tak biarkan roti mengembang hingga melebihi ketinggian loyang supaya roti tak rosak dan mengecut bila ditutup dengan penutup loyang.
Setelah roti mengembang, tutup loyang roti dengan penutup loyang roti yang telah diglis dengan mentega/marjerin pada penutupnya telebih dahulu.
Panaskan ketuhar selama 10 minit pada suhu 180℃, kemudian bakar roti pada rak kedua dari bawah selama 25 hingga 40 minit, sehingga bahagian atas roti kecoklatan. Gunakan api atas dan bawah.
Setelah roti masak, terbalikkan loyang roti pada redai dan biarkan roti sehingga sejuk sebelum dipotong. (Roti yang diterbalikkan di atas redai sewaktu ianya masih panas akan meninggalkan garisan yang boleh dijadikan panduan sewaktu memotong roti nanti).
Setelah roti sejuk, potong roti menggunakan pisau roti (yang bergerigi) mengikut garisan dari redai yang ada pada permukaan atas roti.
Roti hendaklah disimpan di dalam plastik atau bekas untuk elak ianya dari menjadi keras jika terdedah kepada udara.
*NOTA*
Jika anda menggunakan breadmaker untuk mengadun roti, campurkan susu suam, telur, yis, tepung, gula, garam dan mentega/marjerin sekaligus pilih menu "DOH". Biarkan mesin breadmaker menguli hingga selesai.
Jika anda menggunakan stand mixer untuk mengadun doh roti, gunakan hook attachment. Mulakan dengan mencampurkan susu suam, yis, telur dan gula dan putar dengan kelajuan perlahan selama beberapa saat sehingga sebati. Kemudian masukkan tepung dan garam dan uli dengan kelajuan sederhana-tinggi selama 1 ke 2 minit, sehingga doh kasar terbentuk. Kemudian, masukkan mentega dan uli lagi selama 3 hingga 5 minit, sehingga doh elastik.
0 comments :
Post a Comment