Biskut Cornflakes Susu Yang Rangup Tanpa Telur
Dah hampir setengah bulan Febuari tahun 2021 baru ni saya berkesempatan untuk meng"update" blog-blog saya.
Mood nak menulis ni sekarang jarang sangat ada, sebab biasanya saya suka menulis waktu malam.
Tapi sekarang ni lebih banyak letih je bila dah masuk pukul 9 malam. Hihi..
Lebih-lebih lagi sekarang ni cuaca lebih banyak mendung dan hujan, begitu jugaklah mood kite nak menulis ni.
Lebih gigih nak ber YouTube berbanding berblogging pulak sekarang ni.
Tahun ni ingatkan tak nak ambil tempahan cookies, disebabkan PKP lagi sekali, jadi mood nak memerap dalam rumah lebih banyak berbanding nak merayap cari bahan baking.
Tapi tak sampai hati pulak nak tolak tempahan cookies, terutamanya tart nenas dari kengkawan satu office dulu, diorang memang setiap tahun ambil tart nenas dan cookies dari saya.
Tahun ni pun order cookies tak semeriah mana disebabkan diorang pun tak sure dapat berCNY dengan meriah ke tak tahun ni.
So, kite buat jugak cookies seadanya sambil-sambil menghabiskan barang-barang baking yang dah lama terperap dalam peti sejuk tu.
Dah lama betul saya tak buat biskut cornflakes yang evergreen ni.
Biasanya kalau buat biskut cornflakes, mesti saya akan letak cip coklat ke atau minyak sapi dan tepung suji untuk buat suji cornflakes.
Tapi kali ni saya memang nak biskut cornflakes saya sepenuhnya rasa cornflakes, ditambah dengan susu tepung, memang milky sangat biskut ni tau.
Laju je habis Mr Hubby dengan mak saya makan.
Aih...belum masuk CNY dah bedal biskut dulu.. Hihi..
Memang sedap biskut ni, buat kudapan sambil layan Running Man dan My Ugly Duckling.
Untuk step-by-step tutorial membuat biskut cornflakes yang mudah ni, boleh tonton melalui pautan video di bawah ni:
Doh untuk biskut cornflakes ni perlu lembik sikit supaya cornflakes untuk menyalut biskut ni tak mudah tanggal.
Cornflakes nya saya ramas kasar untuk dicampur ke dalam doh biskut dan jugak yang digunakan untuk menyalut biskut.
Kalau suka boleh letak badam cincang yang telah dibakar sebentar dan disejukkan terlebih dahulu.
Kalau dah sedia, jom kita semak resepi biskut cornflakes ni dahulu.
Mane tau kot-kot raya tahun ni teringin nak makan dah boleh buat sendiri je biskut ni.
Selamat mencuba!
BISKUT CORNFLAKES SUSU RANGUP TANPA TELUR
Kategori : Drop Cookies, Biskut Raya
Menghasilkan : Anggaran 58 keping
Bahan-bahan:
Mentega bergaram (lembutkan) 1/2 cawan | 125 gram
Gula pasir dikisar halus/gula icing 1/4 cawan | 42 gram
Susu pekat manis 1 sudu besar | 20 gram
1/2 sudu teh esen vanila
Susu tepung penuh krim 2 sudu besar | 16 gram
Tepung gandum 1/2 cawan + 3 sudu besar | 90 gram
Baking powder 1/2 sudu teh | 2 gram
Tepung jagung 1/4 cawan | 30 gram
Badam cincang (bakar selama 10 minit pada suhu 150℃ & sejukkan) 1/4 cawan | 30 gram
Cornflakes (ramas kasar) 1 cawan | 60 gram
Bahan salutan : Anggaran 1 1/4 cawan cornflakes (ramas kasar)
Cara Membuat:
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan mentega dan gula pasir dikisar halus/gula icing. Whisk/putar hingga adunan pucat.
Masukkan susu pekat manis, esen vanila dan susu tepung. Whisk hingga sebati.
Ayakkan tepung gandum, baking powder dan tepung jagung bersama ke dalam adunan biskut. (Campuran tepung boleh diayak terlebih dahulu kemudian terus masukkan ke dalam adunan).
Masukkan cornflakes yang telah diramas kasar bersama badam cincang yang telah dibakar dan disejukkan terlebih dahulu. Gaul rata menggunakan senduk atau spatula.
Sediakan bahan untuk menyalut biskut dan letakkan di dalam pinggan atau mangkuk leper supaya mudah untuk menggolek doh biskut.
Ambil sejemput doh, atau boleh gunakan sudu kecil untuk mengambil doh dan masukkan ke dalam pinggan/mangkuk berisi cornflakes yang telah diramas kasar.
Ramas doh supaya cornflakes melekat dengan sempurna kemudian bulatkan. Susun di atas dulang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar/diglis dengan mentega. Ulang langkah tadi sehingga selesai.
Gunakan jari atau garfu untuk leperkan sedikit doh biskut.
Bakar biskut pada suhu 180℃ selama lebih kurang 15 minit, atau sehingga biskut sedikit kecoklatan.
Sejukkan dahulu biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
0 comments :
Post a Comment