Resepi Kek Black Forest Yang Mewah Ala Bakeri

Thursday, March 11, 2021

Resepi Kek Black Forest Yang Mewah Ala Bakeri






Baru-baru ni kami menyambut sambutan ulang tahun bersama keluarga kecil kami.

Dah lama teringin nak buat kek black forest ni, pitted cherries pun dah berbulan-bulan tersimpan dalam peti sejuk.

Mujur belum rosak.

Sebabnya susah sangat saya nak buat keputusan, sama-ada nak buat kek potong atau kek sebiji macam ni.

Akhirnya saya buat keputusan nak buat kek sebiji je memandangkan kek ni dijadikan kek birthday.


Sebelum ni resepi kek black forest saya gunakan adunan kek span coklat yang mana resepinya saya ambil dari AllRecipe.com.

Cara membuat keknya lebih mudah, campur semua bahan dalam mangkuk pengadun dan pukul sehingga adunan kembang dan ringan.

Tapi kek black forest kali ni saya gunakan adunan kek chiffon coklat dan hasilnya memang sangat gebu dan lembut!

Krimnya saya buat lebih tebal dengan pitted cherries yang saya susun di setiap lapisan krim frosting.

Sebenarnya, waktu saya buat recording untuk kek ni, waktu dah agak petang, so masa tu memang kelam-kabut sikit sampai saya terlupa nak buat inti ceri.

Dalam resepi kek black forest saya sebelum ni, pitted cherries tu saya masak dahulu bersama sebahagian dari sirapnya bersama gula, tepung jagung dan esen vanila.

Pitted cherries ni rasanya masam sikit, so bagi yang tak suka masam, sebaiknya boleh buat inti ceri untuk kek ni.







Cara untuk buat inti ceri boleh rujuk di blog post saya sebelum ni:

https://thelynalina.blogspot.com/2018/11/black-forest-cake.html


Walaupun saya tak buat inti ceri ni, instead, pitted cherriesnya saya susun je pada lapisan krim frosting, rasanya tetap sedap.

Rasanya jadi seimbang, tak terlalu manis dengan rasa masam buah dari pitted cherries tu, memang sedap!

Kek black forest saya kali ni pun lebih istimewa, sebab saya menggunakan buah ceri segar untuk menghias kek ni.

Sebelum ni ,biasanya saya pakai ceri yang dibeli di kedai bahan bakeri yang dah dijerukkan tu je.




Seperti biasa, untuk visual tutorialnya boleh tonton video yang telah saya upload di Channel YouTube saya, pautannya di bawah ni:





Kesimpulannya, kami memang sangat berpuas hati dengan hasil kek black forest ni.

Mak saya pun suka sangat makan, sampai tak cukup sepotong!


Tanpa membuang masa, jom kita tengok resepinya.

Mana tau lepas ni kalau teringin nak makan kek black forest, boleh buat sendiri je di rumah, lebih jimat dan sedap.

Selamat mencuba!








KEK BLACK FOREST




Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 1 Jam

Masa Rehat : 1 Jam

Masa Membakar : 50 minit





Kek Chiffon Coklat



Bahan-bahan: (*Semua bahan hendaklah pada suhu bilik)



Bahan Untuk Diayak:



Tepung gandum  3/4 cawan & 2 sudu besar  |  113 gram

Serbuk koko  4 sudu besar  |  20 gram

Tepung jagung  1 sudu besar  |  8 gram

Baking powder  1 sudu teh  |  3 gram

Garam  1/4 sudu teh  |  1 gram



Adunan Kuning Telur :



5 biji kuning telur Gred A

Gula kastor/gula pasir halus  1/4 cawan  |  50 gram

1 sudu teh esen vanila

Susu segar/susu penuh krim  1/3 cawan  |  80 ml

Minyak jagung  1/4 cawan  |  60 ml

Campuran tepung yang telah diayak



Adunan Meringue:



5 biji putih telur Gred A

Cream of tartar  1 sudu teh  |  3 gram  *boleh ganti dengan 1 sudu teh cuka makan/jus lemon

Gula kastor/gula pasir halus  1/3 cawan  |  70 gram





Krim Frosting



Bahan-bahan:



Krim putar bukan tenusu  (dingin)  3 & 1/2 cawan  |  725 gram (boleh guna 2 & 1/2 cawan saja jika tak suka lapisan krim yang tebal)

1 sudu teh esen vanila

Gula icing  1/3 cawan  |  50 gram




Bahan Lain :


Parutan coklat masakan gelap secukupnya (anggaran 100 gram)

Hirisan coklat secukupnya (saya gunakan fruit peeler untuk membuat hirisan coklat)

Ceri segar secukupnya 

Ceri dalam sirap (pitted cherries)  1 tin  |  439 gram





Cara Membuat Kek Coklat:




Satukan tepung gandum, tepung jagung, serbuk koko, baking powder dan garam.  Kemudian, ayak campuran tepung sebanyak 3 kali supaya tepung lebih ringan.




Dalam sebuah mangkuk pengadun, pukul kuning telur dengan gula kastor/gula pasir halus menggunakan hand mixer sehingga pucat dan berkrim.  Putar dengan kelajuan sederhana.





Masukkan esen vanila, minyak jagung dan susu segar/susu penuh krim, kemudian whisk menggunakan balloon whisk dengan perlahan sampai sebati saja.





Masukkan campuran tepung yang telah diayak dan gaul rata menggunakan whisk dengan perlahan sehingga sebati saja.  Ketepikan adunan kuning telur sementara kita siapkan meringue.





Di dalam mangkuk pengadun lain, campurkan putih telur bersama cream of tartar/cuka makan/jus lemon. Putar menggunakan hand mixer/stand mixer dengan kelajuan sederhana sehingga berbuih.





Masukkan 1/3 bahagian gula kastor/gula pasir halus dan putar lebih kurang 1 minit, sehingga buah meringue semakin halus.  Selepas itu, masukkan lagi 1/3 bahagian gula dan putar lagi 1 minit.  Masukkan 1/3 bahagian gula yang terakhir dan putar sehingga meringue bertanduk (stiff peaks).




Masukkan 1/3 meringue ke dalam mangkuk berisi adunan kuning telur.  Kaup balik dengan perlahan, tapi gerakan perlu cepat menggunakan whisk sehingga sebati saja.  Jika masih ada sedikit garisan putih, biarkan saja sebab nanti kita akan kaup balik lagi sekali menggunakan spatula.





Selepas itu, tuang adunan kuning telur ke dalam meringue dan kaup balik dengan perlahan dan tapi gerakan perlu cepat menggunakan spatula sehingga warna adunan sekata.






Sediakan loyang bulat bersaiz 8 inci dan alas bahagian bawah loyang dengan kertas pembakar.  Bahagian tepi loyang tak perlu diglis dengan mentega dan jangan gunakan loyang non-stick untuk kek ini.  Kek chiffon perlukan grip yang baik supaya ianya naik dengan cantik sewaktu dibakar.





Tuang adunan dengan perlahan ke dalam loyang, dari ketinggian lebih kurang 20 cm.  Lalukan chopstick/lidi sate dengan gerakkan membulat ke dalam adunan untuk memecahkan gelembung udara.  Hentak loyang beberapa kali supaya gelembung udara pecah.





Bakar kek pada suhu 160℃ dalam ketuhar yang telah dipanaskan selama 10 minit, menggunakan api atas bawah selama 50 ke 60 minit.  Selepas 50 minit, cucuk bahagian tengah kek menggunakan lidi sate/cake tester, jika lidi bersih bermakna kek telah masak.





Keluarkan kek dari ketuhar dan hentak sekali loyang kek pada permukaan untuk elakkan dari mengecut.  Telangkupkan loyang kek ke atas redai dan biarkan kek sejuk. 

Selepas kek sejuk, keluarkan kek dari loyang, jika bahagian tepi kek masih melekat pada tepi loyang, lalukan pisau kecil/offset spatula sebelum mengeluarkan kek.





Potong kek kepada 3 bahagian yang sama tebal menggunakan pemotong kek/pisau bergerigi.  Lapik setiap bahagian kek dengan kertas pembakar.








Cara Membuat Krim Frosting:




Sebelum membuat krim frosting, masukkan mangkuk pengadun bersama pemutar mixer ke dalam freezer selama beberapa minit.  Kalau nak masuk bahagian bawah peti sejuk pun boleh, cuma perlu ambil masa lebih lama kalau nak tunggu mangkuk pengadun tu sejuk.






Campurkan krim, esen vanila dan gula icing ke dalam mangkuk pengadun yang dingin.  Putar dengan kelajuan sederhana sehingga krim kental.Simpan krim dalam peti sejuk dahulu jika belum nak digunakan.






Hiasan Kek:





Letak beberapa keping kertas pembakar di sekeliling papan kek supaya sewaktu melepa kek papan kek supaya tak comot.






Letak lapisan bawah kek di atas papan kek dan letak sedikit krim putar.  Ratakan menggunakan offset spatula.






Susunkan buah ceri dalam tin di atas krim kemudian tutup semula dengan krim.  Kemaskan menggunakan spatula.






Letak sekeping lagi kek di atas lapisan pertama.  Pastikan selari supaya kek tak senget.  Lapis lagi dengan krim putar dan ceri dalam tin.  Kemudian, tutup lagi dengan krim.






Letak lapisan terakhir kemudian tutup keseluruhan kek dengan krim putar.  Kemaskan menggunakan offset spatula atau perata kek.  Simpan dalam peti sejuk sehingga krim pejal supaya mudah untuk dihias, lebih kurang 2 ke 3 jam, bergantung kepada jenis krim yang anda gunakan.  (Krim putar tenusu lebih cepat cair pada cuaca panas berbanding krim putar bukan tenusu).




Setelah krim kental, tepek bahagian tepi kek dengan parutan coklat.  Kemudian, bersihkan lebihkan parutan coklat yang jatuh di atas papan kek dan keluarkan kertas pembakar.






Masukkan baki krim putar ke dalam beg piping dengan nozel bintang, paipkan pada bahagian atas kek.






Hiaskan dengan buah ceri segar.







Hiaskan bahagian tengah kek dengan kepingan coklat yang diparut menggunakan fruit peeler.







Kek sedap dimakan ketika ianya sejuk.













0 comments :

Post a Comment