Resepi Bun Sardin Yang Lembut Dan Gebu
Sebelum ni selalu juga buat bun sardin ni, cuma baru kali ni je sempat ambil video.
Dulu waktu zaman sekolah, saya suka sangat beli bun sardin Gardenia tu dekat kedai runcit mamak depan sekolah.
Sedap juga, tapi lepas habis sekolah lama dah tak beli, tak pasti pula sama ada bun sardin tu masih ada atau tak.
Maklumlah, sejak rajin meroti sendiri di rumah memang jarang sangat beli roti di kedai.
Bun sardin ni saya buat untuk menghabiskan baki sardin Heritage yang saya beli sekotak tahun lepas.
Adalah dalam 25 peket macam tu.
Saja nak beli borong nak simpan buat stok di rumah.
Waktu emergency dan malas masak, boleh masak sardin je.
Kali ni bun sardinnya saya salut dengan serbuk roti putih untuk mendapatkan efek rangup pada bahagian luar roti.
Kalau tak nak letak pun boleh, atau pun boleh juga kalau nak hiaskan dengan bijan putih atau hitam.
Kepingan parsley pun boleh kalau ada.
Asalnya saya nak letak keju cheddar keping di atas bun ni, tapi stok keju cheddar dah habis pula saya gunakan untuk membuat lasagna tempoh hari.
Takpelah, kita pakai je apa yang ada di rumah.
Seperti biasa, video tutorialnya boleh ditonton melalui pautan video di bawah :
Bun sardin ni kalau boleh janganlah isi terlalu banyak supaya senang nak kemaskan doh, takdelah nanti intinya terkeluar sewaktu bun sedang dibakar.
Isi agak-agak dalam satu atau satu setengah sudu besar pun dah cukup.
Sesuaikan mengikut citarasa.
Bun sardin ni boleh disimpan di dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama sebab kita tidak menggunakan pengawet.
Untuk memanaskan bun, keluarkan dari peti sejuk dan biarkan lebih kurang 15 minit baru panaskan menggunakan ketuhar atau microwave.
Tujuannya supaya kita tak perlu nak panaskan terlalu lama untuk mengelakkan bun dari menjadi kering.
Pastikan bun ditutup dengan aluminum foil untuk elak dari menjadi kering.
Bakar pada suhu 150℃ selama 15 minit dan jika guna microwave, hangatkan selama 1 ke 2 minit.
Tanpa membuang masa, jom kita semak dulu resepi.
Bun Sardin Yang Lembut & Gebu
Kategori : Bun
Masa Penyediaan & Menguli : 30 minit
Masa Rehat : 2 jam 15 minit
Masa Memasak : 15 minit
Masa Membakar : 15 minit
Jumlah Hidangan : 12 biji bun
BAHAN-BAHAN
Doh :
3/4 cawan & 2 sudu besar susu segar (suam) | 205 ml *boleh ganti dengan susu sejat/susu penuh krim/air suam
1 biji telur gred A (suhu bilik)
2 sudu teh yis kering segera | 6 gram
3 sudu besar gula pasir | 38 gram
1 cawan tepung gandum | 125 gram
2 cawan tepung roti/tepung berprotein tinggi | 250 gram
1/2 sudu teh garam halus | 3 gram
3 sudu besar mentega bergaram | 45 gram *boleh ganti dengan marjerin
1 sudu besar minyak masak | 15 ml
Inti Sardin :
1 tin besar/peket sardin dalam sos tomato *saya pakai sardin jenama Heritage
1/2 labu bawang besar/ bawang Holland (potong dadu)
2 ulas bawang putih (cincang halus)
1 inci halia (cincang halus)
3 sudu besar pes cili kering *sesuaikan mengikut tahap kepedasan yang disukai
1 sudu besar sebuk rempah kari daging
2 sudu besar air asam jawa (campur 1 sudu teh pes asam jawa dengan 2 sudu besar air)
Serbuk lada hitam kasar secukupnya
Garam secukup rasa
Gula pasir jika perlu (saya tak letak)
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
Hiasan :
Glis (1 biji kuning telur dicampur dengan 1 sudu besar susu)
Serbuk roti secukupnya *boleh ganti dengan bijan hitam atau putih/parsley flakes/potongan keju cheddar
CARA PENYEDIAAN
Doh :
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan susu segar/susu sejat/susu penuh krim/air suam, telur, yis kering segera dan gula pasir. Kacau sebentar hingga sebati.
Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam halus dan adun sehingga menjadi doh kasar. Doh agak melekit tapi tidak terlalu lembik.
Pindahkan doh ke atas permukaan kerja/papan pencanai yang telah ditabur tepung. Gunakan tepung gandum untuk menabur tepung.
Uli sebentar sehingga doh agak licin, dalam 2 minit.
Regangkan doh menjadi lebar dan letak mentega dan minyak masak di bahagian tengahnya. Satukan mentega dan minyak masak dengan doh sehingga sebati. Proses ini memang agak comot pada mulanya, teruskan saja mengadun sehingga kesemua bahan bersatu.
Setelah bahan bersatu, uli doh sehingga elastik, dalam 12 minit.
Uji jika doh telah menjadi elastik dengan cara mengambil sedikit doh kemudian cuba regangkan. Jika doh mudah diregangkan tanpa mudah koyak bermakna doh anda telah cukup uli.
Bulatkan doh dan masukkan ke dalam mangkuk yang besar yang telah dioles sedikit minyak. Tutup mangkuk dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan selama 1 jam je 1 jam 30 minit di tempat yang suam, sehingga doh mengembang menjadi dua kali ganda.
Inti Sardin :
Panaskan minyak masak di dalam kuali. Kemudian, masukkan bawang besar yang didadu, bawang putih dan halia yang dicincang halus dan tumis sebentar, sehingga bawang besar layu.
Masukkan pes cili kering dan tumis sehingga rempah garing dan pecah minyaknya.
Masukkan serbuk rempah kari daging dan tumis sehingga sebati.
Masukkan sardin bersama kuahnya dan hancurkan sardin menggunakan senduk. Tak perlu terlalu hancur pun tak apa.
Masukkan air asam jawa dan serbuk lada hitam kasar. Masak inti sehingga kering kuahnya.
Setelah kuahnya pekat, perasakan dengan garam dan gula jika perlu. Kacau sebentar dan padamkan api.
Sejukkan dahulu inti sardin sebelum digunakan.
Cara Membentuk Bun :
Setelah doh mengembang dua kali ganda, tumbuk-tumbuk sedikit doh untuk mengeluarkan anginnya.
Pindahkan doh ke atas permukaan kerja/papan pencanai yang telah ditabur sedikit tepung dan leperkan sedikit doh. Bahagikan doh menjadi 12 bahagian yang sama besar, lebih kurang 53 gram setiap bahagian jika ditimbang.
Bulat-bulatkan doh dan susun di atas dulang/papan pencanai yang telah ditabur sedikit tepung. Tutup bebola doh dengan cling wrap/tuala bersih dan rehatkan selama 15 minit supaya doh mudah untuk dicanai.
Selepas 15 minit, ambil satu doh dan leperkan menggunakan kayu pencanai setebal kira-kira 0.5 cm. Tak perlu canai terlalu nipis.
Sudukan 1 sudu ke 1 sudu setengah inti sardin di bahagian tengah doh dan tutup doh dengan rapat supaya inti tak terkeluar.
Tutup doh dengan rapat. Kemaskan bentuk doh.
Masukkan doh bun ke dalam kertas cawan untuk roti. Kalau tiada, susun doh bun di atas loyang pembakar beralaskan kertas pembakar. Jarakkan antara satu sama lain untuk memberi ruang doh bun mengembang.
Ulang sehingga selesai. Tutup doh bun menggunakan plastik/tuala bersih dan rehatkan selama 1 jam, sehingga doh bun mengembang dua kali ganda.
Setelah doh mengembang, glis permukaan doh bun dengan glis telur dan tabur dengan serbuk roti/bijan/parsley flakes/potongan keju cheddar.
Membakar Bun :
Bakar doh bun selama 15 ke 20 minit pada suhu 200℃, menggunakan api atas bawah pada rak tengah. Sebelum itu, panaskan dahulu ketuhar selama 10 minit.
Keluarkan bun jika telah berwarna kecoklatan pada bahagian atasnya.
Hidangkan bun sementara masih hangat.
0 comments :
Post a Comment