Resepi Roti Garlic Dengan Keju Mozzarella

Tuesday, March 16, 2021

Resepi Roti Garlic Dengan Keju Mozzarella






Sejak banyak post video resepi roti di Youtube, saya banyak ambil inspirasi untuk resepi-resepi roti saya dari baker roti yang famous di Youtube, antaranya Ninik Becker.

Hasil roti dari air tangan Ninik ni pada saya special, dengan resepi dan video presentationnya yang simple dan mudah difahami.

Antara resepi rotinya yang popular ialah garlic mozzarella bread yang cheesy dan garlicky ni.


Dah lama saya berangan nak meroti roti yang satu ni.

Cuma belum menyempat je nak buat.

Bentuknya saya ambil dari cara Ninik tapi saya buat saiz roti yang lebih kecil supaya mudah nak makan.

Saya kalau buat roti suka buat lebih disebabkan Mr Hubby memang penggemar roti.

Lagipun kalau buat lebih senang, boleh simpan untuk breakfast untuk keesokan harinya.








Untuk menonton video cara membuat roti garlic mozarela yang mudah dan sedap ni, boleh tonton melalui pautan video di bawah:






Disebabkan roti garlic mozarela ni menggunakan keju mozarela yang banyak, ianya paling sedap dimakan sebaik saja ianya dibakar, supaya anda dapat menikmati keju mozarela yang kenyal dan chewy.


Tanpa membuang masa, jom kita semak resepi.









Roti Garlic Mozzarella



Kategori : Roti & Pizza

Jumlah Hidangan : 12 keping

Masa Mengadun : 8 minit

Masa Proofing : 1 jam 45 minit

Masa Mencanai : 15 minit

Masa Membakar : 15 minit




Bahan-bahan:



Susu segar (suam)  1 cawan & 1 sudu besar  |  265 ml  *boleh ganti dengan susu sejat/susu penuh krim/air

1 biji telur gred A/B (suhu bilik)

Yis kering segera  2 & 1/2 sudu teh  |  7.5 gram

Gula pasir  3 sudu besar  |  38 gram

Susu pekat manis  2 sudu besar  |  40 gram

Tepung roti/tepung berprotein tinggi  4 cawan  |  500 gram

Garam  1 sudu teh  |  6 gram

Mentega bergaram/marjerin  3 sudu besar  |  42 gram

Minyak masak/sayuran  1 sudu besar  |  15 ml




Sapuan Garlic Butter:



Mentega bergaram/marjerin (lembutkan)  1/2 cawan  |  125 gram

4 ulas bawang putih (cincang halus)

1/4 sudu teh herba campuran/oregano

1/2 sudu besar kepingan parsley




Bahan Lain:



Keju mozarela secukupnya (potong panjang)

Kepingan cili (chili flakes)

Glis roti : 1 biji kuning telur + 2 sudu besar susu segar






Cara Membuat:




Bahagian 1 : Mengadun Doh








Di dalam mangkuk pengadun, masukkan susu segar/susu penuh krim/susu sejat/air suam, sebiji telur, yis kering segera, gula pasir dan susu pekat manis.  Kacau sebentar menggunakan whisk tangan/spatula/senduk sehingga sebati.





Masukkan tepung roti dan garam, kemudian adun menggunakan spatula sehingga terbentuk doh kasar.  





Pindahkan doh ke atas papan pencanai/permukaan kerja yang telah ditabur tepung gandum secukupnya.  Uli doh selama lebih kurang 2 ke 3 minit, sehingga doh sedikit licin permukaannya.







Regangkan doh menjadi lebar, letak mentega/marjerin dan tuang minyak masak/sayuran ke bahagian tengah doh.  Sebatikan minyak dan mentega dengan doh sehingga tercampur rata.





Setelah tercampur rata, uli doh sehingga elastik, lebih kurang 10 ke 12 minit.  Untuk uji jika doh dah elastik, ambil sedikit doh kemudian cuba regangkan.  Jika doh dapat diregangkan tanpa mudah koyak sehingga doh menjadi nipis bermakna doh telah sedia.





Bentukkan doh menjadi bulat kemudian masukkan doh ke dalam mangkuk pengadun bersih yang telah dioles sedikit minyak.  Tutup mangkuk doh dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan doh selama 1 jam hingga 1 jam 30 minit di tempat suam sehingga doh mengembang dua kali ganda.





Bahagian 2 : Penyediaan Sapuan Garlic Butter



Sementara menunggu doh mengembang, kita sediakan sapuan garlic butter dahulu.





Di dalam mangkuk sederhana, satukan mentega yang telah lembut (bukan cair)/marjerin, bawang putih yang telah dicincang halus, herba campuran/oregano dengan kepingan parsley.  Gaul rata dan ketepikan dahulu sebelum digunakan.




Bahagian 3: Membentuk Doh Roti






Setelah doh mengembang 2 kali ganda, tumbuk doh untuk mengeluarkan gas di dalamnya.  





Bahagian doh menjadi 12 bahagian dan bulat-bulatkan.  





Susun bebola doh di atas papan pencanai/permukaan kerja yang telah ditabur tepung gandum supaya tidak melekat.  Jarakkan sedikit antara satu sama lain.  Tutup bebola doh dengan plastik/cling wrap/kain bersih dan rehatkan selama 15 minit supaya doh mudah untuk dibentuk.






Selepas 15 minit, canai bulat setiap bebola doh setebal 0.5 cm, agak-agak je tak perlu terlalu nipis.  Kemudian susun doh yang telah dicanai di atas dulang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar/silpat/silicone mat.  Jarakkan doh antara satu sama lain supaya doh tak melekat antara satu sama lain setelah mengembang. 





Tutup dulang pembakar dengan plastik besar/kain bersih dan rehatkan lagi selama 30 hingga 45 minit, sehingga doh mengembang 2 kali ganda.  (Jangan terlebih proofing supaya doh tak mengecut sewaktu dikelar nanti).





Bahagian 4 : Menghias Doh Roti






Setelah doh roti mengembang 2 kali ganda, buat 3 ke 4 kelar pada setiap doh roti secara melintang dan menegak menggunakan pisau nipis dan tajam. (Saya pakai pisau Gillette).  Pergerakan harus laju untuk membuat kelaran yang kemas pada doh roti.  Tak perlu kelar sehingga terpotong habis, cukup separuh dalam sahaja.





Glis bahagian tepi doh roti jika suka.  





Kemudian, sapu rata bahagian atas setiap doh roti dengan sapuan garlic butter yang disediakan tadi.





Tekan semula bahagian yang dikelar supaya garisannya nampak lebih jelas dengan menggunakan sudu makan.  





Kemudian, masukkan keju Mozzarella yang telah dipotong panjang memenuhi bahagian yang dikelar.





Taburkan sedikit kepingan cili jika suka pedas.





Bahagian 5 : Membakar Roti






Panaskan ketuhar pada suhu 200℃ selama 10 minit.  Bakar roti selama 15 minit pada rak tengah, dengan menggunakan api atas bawah sehingga roti berwarna keemasan.





Roti sedap dimakan sementara masih panas kerana keju Mozzarellanya masih cair.









Tips Untuk Memanaskan Roti Garlic Mozzarella:



Roti yang tak habis boleh disimpan di dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama.  Cara untuk memanaskan roti, keluarkan dahulu roti dari peti sejuk dan biarkan di suhu bilik selama 15 minit, supaya roti tak terlalu sejuk sewaktu dipanaskan.


Susun roti di atas dulang pembakar dan tutup dengan aluminum foil.


Bakar semula roti pada suhu 150℃ selama 10 ke 15 minit, sehingga roti hangat.







0 comments :

Post a Comment