Resepi Kek Strawberi Mudah Tanpa Mixer
Kalau selalu buat kek strawberi pakai esen strawberi je, apa kata kali ni kita buat kek strawberi dengan menggunakan buah strawberi yang segar.
Lebih puas makan dengan rasa juicy, masam dan manis dari buah strawberi, memang tak cukup sepotong!
Tekstur kek strawberi ini ala-ala muffin versi lembut dan lembap, sebab ada yogurt di dalam adunannya.
Kek strawberi ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai sarapan pagi atau pun minum petang.
Anda boleh sediakan adunan keknya kurang dari 10 minit tanpa menggunakan mixer.
Saya sukakan kek strawberi yang tidak terlalu manis, jadi kek ini saya buat dengan kadar kemanisan yang sederhana.
Tapi jika anda memang sukakan makanan yang manis, untuk resepi ni anda boleh pakai 1 cawan gula, iaitu bersamaan dengan 200 gram.
Asalnya saya nak buat kek chiffon strawberi tapi malas pula nak kisarkan buah strawberi tu.
Takpelah, kek chiffon strawberi kita masuk dalam to-do list dulu, next time kalau ada stok buah strawberi InsyaAllah saya akan buat.
Kek strawberi ni paling sedap dimakan ketika ianya hangat sebab tekstur kek ni paling lembut dan gebu waktu ianya hangat.
Setelah disimpan di dalam peti sejuk, tekstur kek akan menjadi sedikit mampat.
Kaedah untuk panaskan kek, anda boleh gunakan kaedah mengukus atau gunakan microwave untuk lebih mudah.
Tonton video tutorial cara membuat kek strawberi di bawah:
Selain menggunakan loyang bulat, anda boleh juga bakar kek strawberi ni menggunakan loyang segiempat, untuk dapatkan kek yang lebih tinggi, pakai loyang bersaiz 7 inci.
Saya menggunakan yogurt asli berjenama Nestle untuk resepi ini, tapi anda boleh juga gunakan sour cream untuk menggantikan yogurt.
Selamat mencuba!
Kek Strawberi Mudah
Kategori : Kek
Masa Penyediaan : 10 minit
Masa Membakar : 60 minit
BAHAN-BAHAN :
2 biji telur Gred A (suhu bilik)
3/4 cawan gula kastor/gula pasir halus | 150 gram
1 cawan yogurt asli | 250 gram (boleh ganti dengan sour cream)
1/3 cawan minyak jagung | 75 ml (boleh ganti dengan mentega cair atau minyak sayuran lain)
1 sudu teh esen vanila
Parutan kulit dari 1 biji lemon
2 cawan tepung gandum | 250 gram
2 sudu besar tepung jagung | 15 gram
2 sudu teh baking powder | 6 gram
1/4 sudu teh garam | 1 gram
200 gram buah strawberi (sebahagiannya dipotong dadu, sebahagian lagi belah dua)
Bahan Lain :
Gula icing untuk hiasan
CARA MEMBUAT :
Di dalam mangkuk adunan, whisk telur dengan gula hingga gula larut.
Masukkan yogurt, minyak jagung dan esen vanila dan whisk hingga sebati.
Parutkan kulit dari 1 biji lemon.
Ayak bersama tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan garam ke dalam adunan dan kacau adunan hingga sebati dan tiada ketulan tepung.
Masukkan buah strawberi yang telah dipotong dadu dan gaul hingga sebati.
Lenser loyang bulat bersaiz 8 inci dengan mentega dan alas dengan kertas pembakar.
Tuang adunan ke dalam loyang yang telah disediakan dan ratakan adunan menggunakan spatula.
Susun buah strawberi yang telah dibelah dua di atas adunan.
Panaskan ketuhar selama 10 minit pada suhu 180℃, kemudian bakar kek selama 50 ke 60 minit menggunakan api atas bawah, pada rak tengah. Setelah bahagian atas kek kecoklatan, cucuk bahagian tengah kek menggunakan lidi pencucuk atau cake tester. Jika lidi pencucuk atau cake tester bersih bermakna kek telah masak.
Keluarkan kek dari ketuhar dan biarkan sejuk sebentar dalam 10 minit. Gunakan pisau kecil atau offset spatula untuk longgarkan bahagian tepi kek dari loyang. Keluarkan kek dan letak di atas pinggan leper atau papan kek.
Ayak dengan gula icing setelah kek suam. Sedia dihidang sewaktu kek masih suam.
0 comments :
Post a Comment