Resepi Tart Strawberry Yang Rangup & Masam Manis!

Tuesday, March 16, 2021

Resepi Tart Strawberry Yang Rangup & Masam Manis!






Hari tu bershopping barang dapur dengan Mr Hubby ternampak pula Korean strawberry terus excited nak beli.

Saiz buah strawberi Korea ni lebih besar kalau nak dibandingkan dengan buah strawberi dari Cameron Highland.

Lepas siap projek membuat kek black forest kegemaran kami, saya terus je buat tart strawberry ni pada hari yang sama.

Biasanya untuk tart shell saya suka pakai kuning telur je, tapi kali ni saja nak cuba pakai whole egg, dengan putihnya sekali.

Hasilnya, kulit tart yang ada putih telur ni tak terlalu rapuh dan mudah pecah.

Sesuai juga kalau nak gunakan untuk inti kastad macam ni.







Untuk video tutorial membuat tart strawberry ni, sila tonton menerusi pautan video di bawah ni:






Biasanya, saya lebih suka buat kastadnya dahulu setiap kali saya membuat tart buah-buahan ni supaya kastadnya telah sejuk dan set bila hendak digunakan.

Kastad mengambil masa 1 ke 2 jam untuk mengeras dan set.

Jadi sementara menunggu kastadnya set, boleh sediakan tart pastri.

Tart pastrinya mudah saja untuk disediakan dan doh juga tak perlu direhatkan.

Cuma kalau pakai mentega tulen mungkin perlu sejukkan doh sebentar dalam peti sejuk supaya tidak terlalu lembik semasa ditekan dalam acuan tart.


Kalau rajin boleh letakkan apricot glaze untuk membuatkan buah strawberi kilat.

Saya tak letak apa-apapun pada buah strawberi tu sebab ianya dah nampak cantik dan berkilat.


Untuk resepi ini, saya menggunakan Buttercup yang dalam bekas 1kg tu untuk membuat kulit tart.

Buttercup ni biasanya ada dijual di kedai menjual bahan bakeri, tapi kadang-kadang ada juga dijual di pasaraya biasa.

Kalau buat biskut raya, biasanya saya pakai Buttercup ni je.

Jimat sikit, tak perlu pakai pure butter pun biskut dah sedap asalkan cukup bahan dan mentega dan gula cukup pukul.


Ok, tanpa membuang masa, jom semak resepi.







Tart Strawberry Yang Rangup & Masam Manis





Kategori : Tart

Masa Penyediaan : 40 minit

Masa Memasak : 15 minit

Masa Membakar : 30 minit

Jumlah Hidangan : 20 biji tart





KASTAD




Bahan-bahan :




3 biji kuning telur Gred A/B

1/3 cawan gula pasir/gula kastor  (70 gram)

Sedikit garam

1/3 cawan tepung jagung  (40 gram)

1 sudu besar tepung gandum (8 gram) - optional (jika suka kastad lebih kental)

2 cawan Susu segar/susu sejat/susu penuh krim  (250 ml)

1 sudu teh esen vanila

1 sudu besar jus lemon (optional)

1 sudu besar mentega bergaram/ marjerin  (15 gram)





Cara Penyediaan :





Di dalam periuk kecil, masukkan kuning telur, gula pasir/kastor dan sedikit garam.  Whisk hingga gula larut.




Masukkan tepung jagung dan tepung gandum (jika pakai) dan whisk hingga adunan tak berketul.




Di dalam bekas lain, campurkan susu segar/susu sejat/susu penuh krim bersama esen vanila dan jus lemon.  Kacau sebati.




Masukkan campuran susu secara berperingkat dan whisk hingga sebati.  Buat hingga campuran susu habis.




Masak adunan kastad menggunakan api sederhana sehingga kastad pekat dan meletup-letup.  Kacau selalu supaya bahagian bawahnya tidak hangus dan berkerak.




Setelah kastad pekat, padamkan api dan masukkan mentega/marjerin.  Kacau sampai mentega sebati.




Tapis kastad ke dalam mangkuk tahan panas dan tutup kastad dengan cling wrap.  Pastikan cling wrap menyentuh permukaan kastad supaya tidak terbentuk lapisan setelah kastad sejuk.




Simpan kastad di dalam peti sejuk sehingga sedia digunakan.






KULIT TART




Bahan-bahan :



1/2 cawan Buttercup/Marjerin/Mentega Bergaram (suhu bilik)   |  125 gram

1/3 cawan gula icing/gula pasir dikisar halus  |  50 gram

1 biji telur gred A

1/2 sudu teh esen vanila

1 sudu besar badam serbuk  |  10 gram

1 & 3/4 cawan tepung gandum  |  220 gram

2 sudu besar tepung jagung  |  15 gram


Saiz Acuan Tart : 6.5 cm atau 2.5 inci


Coklat masakan gelap/putih secukupnya




Cara Penyediaan :





Di dalam mangkuk pengadun, sebatikan Buttercup/marjerin/mentega bergaram bersama gula icing/gula pasir yang dikisar halus.  Whisk atau adun menggunakan senduk atau spatula hanya sekadar sebati sahaja.




Masukkan telur, esen vanila dan badam serbuk dan kacau lagi hingga sebati.





Ayakkan tepung gandum bersama tepung jagung ke dalam adunan (tepung boleh diayak dahulu sebelum mula mengadun) dan adun hingga menjadi doh.  Jika menggunakan mentega tulen, sejukkan doh sebentar di dalam peti sejuk supaya doh tidak lembik sewaktu ditekan ke dalam acuan tart.




Oles acuan tart dengan sedikit mentega/marjerin, kemudian ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart.  Gunakan tekanan yang sama supaya doh sekata dan pastikan doh tidak terlalu nipis atau terlalu tebal.  




Trim lebihan doh menggunakan pisau supaya kemas.




Cucuk bahagian bawah doh tart menggunakan garfu untuk mengelakkan tart mengembung sewaktu dibakar.


Ulang sehingga selesai.




Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 10 minit pada suhu 170℃ selama 25 ke 30 minit, sehingga tart berwarna kecoklatan.  Bakar menggunakan api atas bawah pada rak tengah.




Setelah tart siap dibakar, biarkan dalam acuan selama lebih kurang 5 minit sebelum dikeluarkan.  Susun kulit tart di dalam dulang dan oles bahagian dalam tart dengan coklat masakan putih/coklat yang telah dicairkan.  Biarkan coklat mengeras sebelum diisi dengan inti.





CARA MENGHIAS TART STRAWBERRY



Bahan-bahan:



Kastad yang telah set dan sejuk

Kulit tart yang telah sejuk 

Inti strawberry secukupnya (boleh dibeli di kedai bahan bakeri) - optional

Buah strawberry segar secukupnya





Cara Penyediaan :






Keluarkan kastad yang telah set dari peti sejuk dan kacau sebentar supaya kastad tidak berketul.  Masukkan ke dalam beg piping plastik.


Potong buah strawberry yang telah dicuci bersih mengikut bentuk yang disukai.  Sebahagian strawberry saya belah dua, sebahagian lagi saya belah 4 dan bakinya saya hiris nipis.




Sudukan sedikit inti strawberry (jika pakai) di dalam kulit tart.  Jangan terlalu banyak, dalam 1/2 sudu besar sahaja sudah cukup.






Kemudian, paipkan kastad di atasnya.  Jangan paip terlalu penuh supaya bila diletak strawberry kastad tidak tumpah.




Akhir sekali, hiaskan dengan potongan buah strawberry.






Sedia dinikmati!








#Tips Penyimpanan


Tart strawberry hendaklah sentiasa disimpan di dalam peti sejuk dan ianya paling sedap jika dihidangkan segar sebaik sahaja diisi dengan kastad dan strawberry.


Setelah dua hari, kulit tart yang telah diisi dengan inti akan menjadi sedikit lembut.







0 comments :

Post a Comment