Resepi Salted Caramel Apple Pie Yang Mudah & Sedap

Thursday, April 8, 2021

Resepi Salted Caramel Apple Pie Yang Mudah & Sedap





Projek membuat pai epal yang setelah sekian lama tertangguh akhirnya selesai juga.

Nasib baik buah epal yang saya beli dua minggu lepas masih elok lagi, belum berkedut pun kulitnya.

Sejak dua menjak ni banyak kerja shooting dan blogging tertangguh disebabkan rasa yang ingin "retreat into solitude" untuk menenangkan fikiran dan mencari ilham.

Kadang-kadang, mencipta hobi dengan membaking atau memasak ni sangat membantu untuk menghilangkan tekanan, at least takdelah kita nak buat perkara yang memudaratkan kesihatan dan keselamatan diri kita seperti "binge eating" untuk release stress.

Lagipun, dapatlah juga membina kemahiran selain metambah ilmu pengetahuan.






Berbalik kepada cerita apple pie ni, beberapa hari jugalah saya ambil masa untuk decide nak buat macam mana apple pie ni.

Nak buat yang inti epalnya perlu dimasak dulu ke, macam dalam resepi apple turnover yang pernah saya upload di baking channel saya dahulu, atau nak perap je buah epal tu dengan gula, serbuk kayu manis dan jus lemon, kemudian air perapan dari jus epal tu kita masak sekejap dengan mentega.

My Hubby bagi cadangan untuk buat je apple pie macam biasa, mudah dan senang.

Masalahnya saya pula lebih suka design resepi sendiri, tak kisahlah macam mana walaupun refurbish resepi orang pun ok, asalkan resepi diolah mengikut cara saya sendiri.


Akhirnya saya buat keputusan untuk membuat apple pie dengan salted caramel.

Yea! Happy sangat bila cubaan kali pertama terus menjadi!

Salted caramel ni istimewa sikit sebab ianya dicampur dengan jus epal dari perapan buah epal.

Makan sampai menjilat sudu tau!

Hihi..

Lebih-lebih lagi makan dengan ais krim vanila.

Memang sengaja kami beli ais krim vanila untuk dipadankan dengan apple pie ni.

Insya Allah lepas ni next project saya akan buat chocolate custard apple pie, selepas settle shooting resepi cookies yang tertangguh ni.







Sebelum itu, untuk menonton video tentang cara untuk membuat ssalted caramel apple pie ni, boleh tonton di sini :








Tanpa membuang masa, jom kita semak resepi dulu.


Selamat mencuba!








Salted Caramel Apple Pie





Kategori : Pastri dan Pai

Masa Penyediaan : 30 minit

Masa Rehat : 1 jam

Masa Memasak : 10 minit

Masa Membakar : 45 minit





BAHAN-BAHAN




Inti Epal :



3 biji epal bersaiz sederhana  (saya pakai epal Fuji) - kupas kulit & potong kecil (jangan terlalu kecil supaya epal tidak lembik bila dibakar)

1/4 cawan gula pasir halus  |  50 gram

1 sudu besar jus lemon

1 sudu teh serbuk kayu manis

3 sudu besar tepung jagung  |  25 gram




Kerak Pai :



2 & 1/4 cawan  |  280 gram

2 sudu besar gula icing  |  20 gram

12 sudu besar mentega bergaram sejuk  |  175 gram  (potong kecil)

Anggaran 2 sudu besar susu segar/susu penuh krim/air sejuk dari peti ais  |  30 gram




Karamel Bergaram :



  1/2 cawan gula pasir halus  |  100 gram

3 sudu besar mentega bergaram  |  45 gram

4 sudu besar krim putar tenusus (suhu bilik)  |  50 gram

Jus dari inti epal

1/2 sudu teh garam  |  2 gram




Hiasan :



Glis telur : campurkan 1 biji kuning telur dengan 1 sudu teh air

Gula pasir secukupnya





CARA MEMBUAT




Inti Epal :





Kupas buah epal yang telah dicuci bersih kemudian belah kepada 4 bahagian, buah empulur dan bijinya dan potong menjadi 4 atau 5 potongan untu setiap bahagian.





Di dalam mangkuk sederhana, masukkan ketulan buah epal yang telah dipotong.  Campurkan dengan jus lemon, serbuk kayu manis dan gula pasir halus dan gaul rata.  Tutup mangkuk dan perap pada suhu bilik sementara kita sediakan kerak pai.





Kerak Pai :






Ayak bersama tepung gandum bersama gula icing ke dalam mangkuk pengadun.




Masukkan ketulan mentega sejuk dan ramas mentega ke dalam adunan tepung menggunakan pastry blender atau garfu.  Jika boleh, elakkan dari menggunakan tangan (terutamanya tapak tangan kerana suhu badan yang panas akan membuatkan mentega lebih cepat cair).  Ramas sehingga adunan menjadi seperti serbuk roti yang kasar.





Pindahkan doh ke atas meja kerja/papan pencanai, kemudian masukkan susu/air sebanyak 1 sudu besar pada satu masa.  Uli perlahan sehingga menjadi doh yang tidak berderai.  (Sukatan susu/air bergantung kepada jenis mentega yang digunakan).





Setelah menjadi doh, bahagikan doh menjadi dua bahagian.  Satu bahagian lebih besar berbanding yang satu lagi untuk dijadikan bahagian bawah pai.






Bulatkan dan leperkan sedikit kedua-dua bahagian doh dan bungkus dalam cling wrap.  Rehatkan doh di dalam peti sejuk selama lebih kurang 1 jam supaya doh tidak lembik ketika ianya dicanai.






Karamel Bergaram :







Tapis inti epal dan ambil jus dari inti epal untuk digunakan di dalam karamel.




Panaskan gula sehingga cair dan berwarna perang di dalam periuk/kuali dengan bahagian bawah yang tebal (heavy-bottomed) supaya gula tidak cepat hangus.  Gunakan api sederhana kecil.  Sekali-sekala, kacau dan gerakkan kuali/periuk supaya gula cair dengan sekata.




Setelah gula bertukar menjadi warna perang, kecilkan api dan masukkan mentega.  Kacau sehingga mentega cair.






Masukkan krim putar tenusu, jus dari inti epal dan garam, kacau sebentar dan biarkan karamel berbuih sebentar.  





Padamkan api dan biarkan karamel suam sebelum disimpan di dalam botol.






Cara Membuat Pai Epal :







Oles loyang pai bersaiz 8 inci/ 20 cm dengan mentega secukupnya.  Saya gunakan loyang pai yang boleh dibuka bawahnya (loose bottom) supaya mudah hendak keluarkan pai setelah masak.






Selepas 1 jam, keluarkan doh dari peti sejuk.  Pindahkan doh yang bersaiz lebih besar ke atas papan pencanai yang dilapik dengan kertas pembakar supaya mudah untuk mengangkat doh pai setelah dicanai.  Lapik bahagian atas doh dengan plastik/cling wrap supaya mudah untuk dicanai.  Leperkan doh sedikit menggunakan tangan kemudian canai leper berbentuk bulat setebal 0.5 cm.  Pastikan anda canai doh tersebut lebih kurang 2 inci lebih lebar dari saiz loyang pai.







Alihkan cling wrap/plastik, angkat doh yang telah dicanai, kemudian telangkupkan di atas loyang pai pada kedudukan menegak.  Alihkan kertas pembakar kemudian tekan doh supaya kemas pada loyang pai.  






Gelekkan kayu pencanai di atas loyang pai untuk memotong lebihan doh supaya kemas.






Baki doh boleh dicampur bersama doh yang kedua untuk membuat bahagian atas pai.  Canai leper setebal lebih kurang 0.3 cm, kemudian simpan semula di dalam peti sejuk sementara sedia untuk digunakan.






Tambahkan tepung jagung pada inti epal.  Keluarkan jus epal jika ada supaya inti tidak terlalu berair. 






 Sudukan inti epal ke dalam loyang pai dan padatkan.  Inti epal memang akan lebih tinggi dari paras tepi loyang pai supaya pai epal tidak mendap di bahagian tengah setelah dibakar.






Tuang separuh dari salted karamel ke atas inti dan simpan sebahagian lagi untuk dibuat hidangan.






Keluarkan doh yang kedua kemudian potong menjadi helaian panjang setebal 1 cm dengan menggunakan pisau/pemotong pizza.






Susun helaian doh secara berselang-seli membentuk seperti tikar.  






Potong lebihan doh kemudian letak helaian doh untuk menutup bahagian tepi pai.






Tekan bahagian tepi pai dengan menggunakan garfu untuk membuat corak.






Glis pai dengan glis telur kemudian taburkan gula pasir secukupnya jika suka.






Panaskan ketuhar pada suhu 190℃ selama 10 minit.  Bakar pai pada suhu 190℃ selama lebih kurang 45 minit pada rak paling bawah dengan menggunakan api atas bawah.  Saya alas loyang pai dengan dulang pembakar supaya mudah untuk mengeluarkan pai dari ketuhar setelah pai masak.  Bakar sehingga bahagian atas pai berwarna keemasan.  






Setelah pai masak, biarkan pai sejuk sebentar sebelum dikeluarkan dari loyang.





Hidang setelah pai suam bersama ais krim vanila dan potongan buah-buahan.







0 comments :

Post a Comment