Resepi Biskut Triple Chocolate Chips Rangup & Pahit Manis
Assalamualaikum.
Kali ini saya akan berkongsi salah satu biskut raya iaitu biskut triple chocolate chips.
Biskut ini ialah hasil olahan dari biskut chocolate chips versi original tapi ditambah dengan coklat masakan cair dan serbuk koko untuk mendapatkan rasa coklat yang intense dan pahit manis.
Saya cadangkan supaya anda gunakan mentega, coklat masakan dan serbuk koko yang berkualiti tinggi supaya rasa biskut lebih lemak dan sedap.
Tekstur biskut ini rangup dan tidaklah terlalu manis, ada sedikit rasa pahit dari serbuk koko.
Jika anda sukakan tekstur biskut yang chewy di bahagian tengahnya, anda boleh kurangkan masa membakar biskut.
Selamat mencuba & Salam Ramadhan!
Jom tonton cara-cara membuat biskut triple chocolate chips ni menerusi pautan video di bawah ini :
Biskut Triple Chocolate Chips Rangup
Kategori : Biskut Raya, Drop Cookies
Masa Penyediaan : 35 minit
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Hidangan : Anggaran 90 keping
BAHAN-BAHAN
65 gram Coklat masakan gelap separuh manis | 1/4 cawan
125 gram mentega tanpa garam (lembutkan) | 1/2 cawan
65 gram gula perang | 1/3 cawan
42 gram gula pasir yang telah dikisar halus | 1/4 cawan
1 gram garam | 1/4 sudu teh
1 biji telur gred A (suhu bilik)
1/2 sudu teh esen vanila
18 gram serbuk koko | 1/4 cawan
28 gram tepung jagung | 1/4 cawan
1 gram baking soda | 1/2 sudu teh
1 gram baking powder | 1/2 sudu teh
7 gram serbuk badam | 1 sudu besar
228 gram tepung gandum | 1 & 3/4 cawan dan 1 sudu besar
30 gram badam cincang (dibakar dahulu) | 1/4 cawan
80 gram cip coklat | 1/2 cawan
Hiasan :
Cip coklat secukupnya
CARA MEMBUAT
- Cairkan coklat masakan gelap secara double boil sambil dikacau supaya cepat cair. Kemudian, keluarkan dari periuk dan biarkan sejuk.
- Di dalam mangkuk pengadun, masukkan mentega tanpa garam, gula perang, gula pasir yang dikisar halus dan garam. Whisk perlahan hingga sebati dan pucat, tidak perlu kembang.
- Masukkan 1 biji telur dan esen vanila dan whisk sebati.
- Masukkan coklat masakan yang telah sejuk dan whisk sebati.
- Ayak tepung gandum, tepung jagung, serbuk koko, baking powder dan baking soda ke dalam adunan, dan masukkan serbuk badam. Gaul sebati.
- Akhir sekali, masukkan badam cincang yang telah dibakar selama 10 minit pada suhu 140℃ dan disejukkan terlebih dahulu. Masukkan juga cip coklat. Gaul sebati. DOh boleh terus dibentuk tanpa perlu direhatkan.
- Siapkan loyang pembakar yang telah diglis dengan mentega atau dialas dengan kertas pembakar.
- Timbang berat setiap doh sebanyak 8 gram dan bulat-bulatkan.
- Susun di atas loyang dengan menjarakkan antara satu sama lain untuk memberi ruang biskut untuk mengembang sewaktu dibakar.
- Tekan biskut menggunakan garfu untuk membuat corak dan hiaskan dengan cip coklat.
- Panaskan ketuhar pada suhu 170℃ selama 10 minit dan bakar biskut selama lebih kurang 25 minit pada rak tengah dengan menggunakan api atas bawah.
- Sejukkan biskut di atas redai sebelum disimpan di dalam balang biskut.
0 comments :
Post a Comment