Resepi Kuih Seri Muka Yang Lembut, Lemak Secukup Rasa

Sunday, April 11, 2021

Resepi Kuih Seri Muka Yang Lembut, Lemak Secukup Rasa


 




Agak berdebar juga perasaan ni bila nak shooting buat kuih tradisi ni.

Bukannya apa, saya agak jarang membuat kuih jadi tak berapa mahir, sementara sifu-sifu Youtuber kebanyakannya lebih berpengalaman tentang selok-belok pembuatan kuih tradisional macam kuih seri muka ni.

Tapi bila dah dekat nak bulan puasa ni teringin la nak berubah angin kejap dengan membuat lebih banyak kuih muih tradisional, lagipun bulan puasa mana ada orang nak makan roti kan?

Kebanyakkannya lebih suka makan kuih muih untuk dijadikan hidangan sampingan ketika berbuka puasa.

Dalam list-to-do saya ni dah ada la beberapa jenis kuih yang saya plan nak buat.

Antaranya kuih koleh kacang, pulut panggang dan koci labu.

Dah lama kami tak makan koleh kacang, teringin betul nak membuatnya, kalau menjadi saya akan kongsikan nanti resepinya ya.

My Hubby pula memang hantu kuih koci labu, minat betul makan koci labu, lembut dan kenyal gitu kan?







Baiklah, kali ni tak nak cerita panjang sebab nak design resepi biskut raya lepas ni.

Kuih seri muka ni saya tak plan nak buat awal, disebabkan kesuntukan masa, saya memilih untuk mengukus kuih seri muka saya menggunakan acuan lompang supaya kuih cepat sejuk dan tidak perlu tunggu berjam-jam sebelum kuih boleh dipotong.

Jadi, kalau agak-agak kesuntukan masa, kukus saja kuih seri muka ni dalam acuan kuih lompang.

Lagipun, bentuknya juga comel, memang sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu dan dibuat hidangan untuk jamuan.




Untuk menonton video tutorialnya, boleh tonton melalui pautan video di bawah:









Kuih seri muka saya ni sebahagiannya ada yang berlesung pipit disebabkan saya lupa nak kecilkan api sewaktu mengukus.

Bila dah masukkan lapisan kastad pandan tu kita perlu kukus dengan api sederhana sahaja supaya kuih tidak menggelembung sewaktu dikukus dan seterusnya bahagian yang menggelembung tu akan jadi mengecut macam lesung pipit setelah kuih masak.

Takpelah, walaupun berlesung pipit, kuih seri muka ni amat sedap, cukup lemak santannya dan lembut.

Kuihnya pun tidak terlalu manis kerana kami kurang gemar kuih yang terlalu manis.


Ok, jom kita semak resepi.


Selamat mencuba!








Kuih Seri Muka





Kategori : Kuih Melayu

Masa Penyediaan : 20 minit minit

Masa Memasak : 20 minit

Masa Mengukus : 51 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 26 biji kuih






BAHAN-BAHAN





Lapisan Pulut :




1 cawan beras pulut  | 200 gram

Anggaran 800 ml air untuk merendam beras pulut

1 cawan santan pekat  * saya gunakan 1/2 cawan krim santan KARA dicampur dengan 1/2 cawan air

1/2 sudu teh garam halus  | 3 gram

1 helai daun pandan - belah 2





Lapisan Kastad Pandan :




Jus pandan :



5 ke 6 helai daun pandan

1 & 1/4 cawan air  | 310 ml



1 biji telur gred A (suhu bilik)

1/3 cawan gula pasir halus  | 68 gram

1/4 sudu teh garam halus  |  1 gram

1/2 cawan tepung gandum  |  65 gram

1 sudu besar tepung kastad  |  8 gram

1 sudu besar tepung jagung  |  8 gram

1 cawan santan pekat  *saya campurkan 2/3 cawan krim santan KARA dengan 1/3 cawan air

Sedikit perwarna hijau epal

Sedikit perwarna kuning telur





CARA MEMBUAT





Lapisan Pulut :






Basuh bersih beras pulut kemudian tapis.  Masukkan beras pulut yang telah ditoskan ke dalam mangkuk sederhana.  Rendam bersama 800 ml air/air secukupnya sehingga melebihi paras beras pulut.  Tutup mangkuk dan rendam selama 30 minit.






Selepas 30 minit, buang air rendaman beras dan masukkan santan pekat dan garam.  Gaul rata. Tuang campuran beras pulut ke dalam loyang pengukus dan masukkan potongan daun pandan.






Sebelum itu, panaskan pengukus sehingga air kukusan mendidih.  Kukus pulut dengan api sederhana tinggi selama 20 minit sehingga pulut masak.  Setelah pulut masak, keluarkan dari pengukus.  Keluarkan daun pandan dan gemburkan menggunakan spatula supaya lemak santannya rata. 






Oles acuan kuih lompang dengan sedikit minyak masak.  Sementara pulut masih panas, sudukan pulut sehingga memenuhi separuh acuan dan tekan menggunakan acuan lain supaya lapisan pulut padat.  Kemaskan bahagian tepinya menggunakan sudu.





Lapisan Kastad Pandan :






Potong pendek daun pandan yang telah dicuci bersih dan masukkan ke dalam pengisar.  Tambahkan air kemudian kisar sehingga halus.  Tapis jus pandan menggunakan penapis dengan jaringan halus dan sukat jus pandan sebanyak 1 cawan.






Di dalam mangkuk pengadun, pecahkan 1 biji telur dan masukkan gula pasir halus dan garam.  Whisk dengan gerakan zig zag supaya gula cepat larut.






Masukkan tepung gandum, tepung kastad dan tepung jagung dan whisk sehingga sebati.






Tuang jus pandan dengan 2 peringkat dan whisk hingga sebati sehingga adunan tidak berketul.






Masukkan santan pekat dengan 2 peringkat dan whisk hingga sebati.






Akhir sekali, masukkan perwarna hijau epal dan kuning dan whisk hingga sebati.






Tapis adunan ke dalam periuk kecil dan masak dengan api sederhana kecil sehingga naik wap dan adunan sedikit pekat sahaja.  Setelah itu, angkat dan tapis lagi sekali supaya adunan halus.






Tuang adunan kastad pandan ke dalam acuan lompang, tapi jangan terlalu penuh.






Panaskan pengukus lagi sekali, setelah air kukusan mendidih, susun acuan lompang ke dalam pengukus dan kukus dengan api sederhana rendah selama 30 minit.  Balut penutup pengukus dengan kain tebal untuk elak wap air dari jatuh ke atas kuih, atau pun, sekali sekala lap penutup pengukus.






Setelah 30 minit, buka penutup pengukus dan kukus dengan api tinggi selama 1 minit untuk mengeringkan air pada permukaan kuih.

Keluarkan kuih dari pengukus dan biarkan kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.






Kuih seri muka sedia dihidang.







0 comments :

Post a Comment