Resepi Biskut Marble Shortbread

Monday, March 28, 2022

Resepi Biskut Marble Shortbread


Resepi Biskut Marble Shortbread


 Assalamualaikum readers...


Entri kali ini saya nak berkongsi resepi biskut yang elegant dengan corak marble di atasnya iaitu Biskut Marble Shortbread.  Sebenarnya, dah lama saya cuba buat biskut ni, tapi loyang sekat pula takde.  Lepas dapat request untuk resepi Marble Shortbread ni barulah terkial-kial nak cari loyang sekat untuk buat biskut ni.

Nak pasang loyang sekat ni mencabar juga rupanya, dan penyekatnya juga agak tajam, kalau tak hati-hati boleh luka tangan.  Pertama kali lepas saya bereksperimen membuat biskut ni, lepas buka penyekat tu, saya tak pandai nak pasang semula, Sudahnya berbulan-bulan loyang sekat tu terbengkalai macam tu je.  Lepas dapat request kali kedua untuk biskut ni barulah saya ada semangat balik nak belajar pasang penyekatnya.  Alhamdulillah...nasib baiklah boleh pasang dengan baik.  Kalau kita buat kerja dengan kepala berserabut memang semua benda jadi susah kan?  So, pastikan fikiran semua kena tenang sebelum membuat apa sahaja pekerjaan ya.





Apa sebenarnya keistimewaan biskut Marble Shortbread ni, sampai ramai betul peminatnya? 

 Pertama, sudah tentulah corak hiasannya yang memang tempting, especially bagi peminat coklat.  Kedua, rasa biskut ni memang rich, dengan buttery nya, dengan milky nya dan juga rasa unik Nestum dan nutty dari serbuk badam yang membuatkan biskut ini menjadi kegilaan ramai.  Saya menggunakan pes kopi emulco yang saya beli ke Bake With Yen sebagai pengganti esen vanila.  Walaubagaimanapun, bagi yang tak minat kopi, anda boleh pakai saja esen vanila.





Macam mana tekstur biskut ni, rangup ke lembut?

Ini salah satu soalan yang biasa viewer saya tanya untuk resepi biskut.  Biskut ni melt -in mouth ke, rangup ke atau lembut?  Tekstur biskut Marble Shortbread ni sepatutnya agak rangup sebab kita menggunakan emplex, tepung jagung dan juga sebahagian lagi tepungnya saya menggunakan tepung Redrose atau tepung khas untuk membuat biskut.  Selain faktor penggunaan tepung, suhu dan tempoh membakar juga memainkan peranan untuk tesktur biskut.

Disebabkan biskut ni agak tebal dan dibakar dalam bentuk kepingan doh yang besar (bukan diterap), jadi tempoh membakar perlu dipanjangkan dengan suhu membakar yang lebih rendah supaya bahagian dalam biskut masak sepenuhnya.  Untuk resepi ni, saya bakar biskutnya pada suhu 160℃, tapi suhu ni perlu bergantung kepada jenis ketuhar masing-masing.  Anda perlu fahamkan fungsi ketuhar anda dengan bereksperimen sampai anda dapat kenalpasti suhu yang sesuai untuk membakar biskut.

Selain itu, anda perlu pastikan biskut betul-betul sejuk sebelum anda letak topping coklat supaya biskut tidak menyerap kelembapan coklat.  Kesimpulannya, perlu ada kesabaran untuk membuat biskut ni, bermula dari pengurusan loyang sekatnya sampailah ke bahagian nak tanggalkan penyekatnya. πŸ˜…



Tonton Video Di Sini πŸ‘‡πŸ‘‡




Kalau anda peminat biskut Marble Shortbread ni, tak rugi cuba buat sendiri di rumah, lebih jimat, terutama bagi yang mempunyai ramai anak.  Biskut ni bukan sahaja menjadi rebutan anak-anak, mak dan ayahnya juga pun boleh ketagihπŸ˜†

Selamat mencuba & Happy Baking!




BISKUT MARBLE SHORTBREAD






Kategori : Biskut Raya

Masa Penyediaan : 25 minit

Masa Membakar : 60 minit

Jumlah Hidangan : 100 keping




BAHAN-BAHAN



Doh Biskut :




150 gram mentega bergaram (lembutkan)  | 2/3 cawan

45 gram lemak sayuran (shortening)  | 3 sudu besar

75 gram gula icing  |  1/2 cawan & 2 sudu besar

1 sudu teh pes kopi emulco (boleh pakai esen vanila)

1 kuning telur gred A

25 gram Nestum  |  1/3 cawan  (kisar halus)

30 gram susu tepung penuh krim  |  1/4 cawan

30 gram serbuk badam  |  1/4 cawan

65 gram tepung Redrose/cookies flour  |  1/2 cawan

28 gram tepung jagung  |  1/4 cawan

133 gram tepung gandum  |  1 cawan & 1 sudu besar

3 gram emplex  |  1 sudu teh



Topping :


50 gram coklat masakan putih

250 gram coklat masakan gelap (boleh campur 125 gram dark compound dengan 125 gram milk compound)

30 gram lemak sayuran (shortening)  |  2 sudu besar




CARA MEMBUAT



Doh Biskut :



  1. Panaskan ketuhar pada suhu 160℃.
  2. Ayak bersama tepung jagung, tepung Redrose, tepung gandum dan emplex.  Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun, masukkan mentega, shortening dan gula icing yang telah diayak.  Pukul adunan menggunakan handmixer/ whisk sampai adunan pucat dan kembang sedikit sahaja.
  4. Masukkan pes kopi/esen vanila dan kuning telur dan pukul sebati.
  5. Masukkan Nestum yang dikisar, serbuk badam dan susu tepung dan pukul sebati.
  6. Masukkan tepung yang telah diayak dan adun menggunakan spatula/tangan sehingga menjadi doh.



Membentuk Doh Biskut :




  1. Alas loyang sekat bersaiz 10 inci x 10 inci (25 cm x 25 cm) dengan kertas pembakar.  Pastikan kertas pembakar lebih besar dari saiz loyang supaya mudah nak keluarkan biskut setelah siap ditopping.
  2. Spray/oles penyekat loyang dengan baking spray/mentega/marjerin.
  3. Ambil doh biskut tadi dan tekan rata pada loyang.  Alas doh dengan plastik dan canai menggunakan rolling pin kecil atau penekan kek supaya tebalnya sekata.
  4. Pasang penyekatnya kemudian cucuk-cucuk doh dengan garfu supaya doh tidak menggelembung sewaktu dibakar.  Kalau nak cucuk dahulu sebelum letak penyekat pun boleh.
  5. Tekan penyekat loyang supaya sampai ke dasar loyang.
  6. Bakar selama 50 ke 60 minit pada rak kedua bawah/rak tengah dengan menggunakan api atas bawah.
  7. Setelah biskut siap dibakar, keluarkan dari ketuhar dan biarkan biskut betul-betul sejuk.



Topping :



  1. Cairkan coklat masakan putih secara double boil atau rendam mangkuk berisi coklat putih dalam air panas (pastikan mangkuk yang digunakan ialah heat proof).  Kacau sampai coklat cair sepenuhnya.  Kalau pekat, boleh tambah 1 sudu teh minyak jagung.  Biarkan coklat suam baru masukkan dalam beg plastik piping.
  2. Cairkan coklat masakan gelap/coklat susu bersama shortening secara double boil. Kacau sampai coklat cair sepenuhnya.



Menghias Biskut :





  1. Setelah biskut sejuk, keluarkan penyekat dan tuang coklat masakan gelap yang telah cair di atas biskut.  Boleh tuang terus coklatnya tak perlu tunggu sejuk ya.
  2. Ratakan coklat menggunakan spatula, kemudian hentak perlahan loyang beberapa kali supaya coklat masuk di celah-celah biskut.
  3. Paipkan coklat masakan putih secara menegak, kemudian lorekkan menggunakan lidi pencucuk membentuk corak marble mengikut kreativiti masing-masing.
  4. Selepas itu, spray lagi sekali penyekat dengan baking spray atau oles dengan mentega/marjerin dan pasang semula penyekat pada loyang.
  5. Tekan penyekat supaya sampai ke dasar loyang.
  6. Masukkan dalam peti sejuk selama 10 ke 15 minit, atau sehingga coklat mengeras.
  7. Setelah coklat mengeras, keluarkan dari peti sejuk.  Keluarkan penyekat dari loyang (saya tarik penyekat tu menggunakan anti-slip bowl clipper) sebab penyekat agak tajam, jadi, hati-hati sewaktu nak keluarkan penyekat tu.
  8. Potong biskut yang melekat antara satu sama lain kalau ada menggunakan pisau ya supaya potongannya kemas.
  9. Simpan biskut dalam bekas kedap udara.







0 comments :

Post a Comment