Resepi Tart Mini Florentine Rangup & Sedap Tanpa Tepung Florentine

Sunday, April 17, 2022

Resepi Tart Mini Florentine Rangup & Sedap Tanpa Tepung Florentine


 

Resepi Tart Mini Florentine Rangup & Sedap Tanpa Tepung Florentine


Assalamualaikum readers...


Kali ni saya nak share salah satu resepi biskut raya moden yang boleh dicuba untuk Lebaran kali ini.  

Biskut ini menggunakan base tart tanpa telur yang saya tambah sedikit serbuk badam untuk memberikan rasa nutty dan sebahagian tepung saya menggunakan tepung Redrose atau tepung biskut yang anda boleh beli dikedai menjual bahan bakeri untuk tesktur kulit tart yang lebih rangup.

Saya pakai Buttercup saja untuk membuat kulit tartnya, tapi rasanya pun dah cukup sedap.

Kalau nak rasa yang lebih rich dan buttery, anda bolehlah pakai mentega tulen ya.


Acuan tart yang saya gunakan ialah yang bersaiz paling kecil, iaitu yang berdiameter 3.5 cm untuk mendapatkan tart Florentine yang bite sized.

Kalau anda takde acuan yang bersaiz kecil, anda boleh saja pakai acuan kulit tart yang standard size tu, iaitu 4.5 cm.





Resepi tart mini Florentine kali ini agak istimewa kerana saya menggunakan bijian seperti biji labu dan biji bunga matahari, tidak seperti resepi tart Florentine yang pernah saya kongsikan resepinya di Channel Youtube saya sebelum ini yang hanya menggunakan kepingan badam.

Selain menambah bahan, saya menggunakan sirap glucose untuk membuat karamel atau Florentinenya.

Sebelum ini, saya menggunakan madu sahaja dan hasilnya bagi saya agak chewy dan rasa madu agak mendominasi rasa Florentine tu.

Sejujurnya, versi tart Florentine kali ini memang olahan yang terbaik setakat ini setelah beberapa kali saya cuba adjust resepinya.

Anda memang patut cuba resepi tart Florentine ni, memang sedap dijadikan sebagai kudapan, tambahan lagi dengan adanya kekacang, bijian, sultana dan ceri cincang menambah tekstur dan rasa pada tart Florentine ni.



Tonton Video Di Sini 👇👇




TIPS untuk mendapatkan tekstur tart Florentine yang rangup ialah pastikan setelah anda isikan kulit tart dengan inti Florentine, anda perlu bakar menggunakan suhu yang agak rendah, saya menggunakan suhu 160℃ dan panjangkan tempoh membakar, antara 25 ke 35 minit, sehingga intinya berwarna keemasan.

Kalau kita gunakan suhu yang tinggi bahagian dalam inti masih belum garing menyebabkan tart Florentine kita tidak rangup.





Untuk resepi ini, saya olah supaya rasanya tidak terlalu manis, padan dengan rasa kulit tartnya. 

Saya tidak recommend untuk gantikan sirap glucose kepada madu untuk resepi ini supaya anda dapat hasil tart Florentine yang terbaik, tidak liat dan rangup.

Sirap glucose boleh dibeli di kedai menjual bahan bakeri ya.


Bagi peminat biskut Florentine atau karamel, bolehlah cuba resepi ini untuk dijadikan salah satu hidangan biskut raya pada hari Lebaran nanti.


Selamat mencuba!



Tart Mini Florentine








Kategori : Biskut Raya, Tart

Masa Penyediaan : 35 minit

Masa Membakar : 55 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 71 keping



BAHAN-BAHAN



Kulit Tart :




125 gram Buttercup / mentega bergaram (lembutkan)  | 1/2 cawan

40 gram gula pasir kisar halus  | 1/4 cawan  (ATAU 6 sudu besar metrik gula icing)

1 sudu teh esen vanila

15 gram serbuk badam  | 2 sudu besar

65 gram tepung biskut / tepung Redrose  | 1/2 cawan (ATAU 1/4 cawan [28 gram] tepung jagung + 1/4 cawan & 1/2 sudu besar [37] gram tepung gandum)

103 gram tepung gandum  |  3/4 cawan & 1 sudu besar



Inti :




40 gram cornflakes mini / cornflakes ramas kasar  | 3/4 cawan

50 gram kepingan badam  | 1/2 cawan  

30 gram biji labu  |  3 sudu besar  

20 gram biji bunga matahari  |  2 sudu besar  

75 gram sultana/ kismis  |  1/2 cawan

40 gram ceri merah cincang  |  3 sudu besar

20 gram bijan hitam  |  2 sudu besar



Karamel/ Florentine :




50 gram gula pasir halus/ gula kastor  |  1/4 cawan

55 gram krim putar tenusu  |  1/4 cawan

35 gram sirap glucose  |  2 sudu besar

30 gram mentega bergaram/ Buttercup  |  2 sudu besar




CARA MEMBUAT



Kulit Tart :






  1. Di dalam mangkuk pengadun, sebatikan Buttercup/mentega bersama gula pasir kisar halus/gula icing menggunakan spatula sehingga sebati sahaja.  Pastikan gula diayak dahulu supaya tidak berketul.
  2. Masukkan esen vanila dan serbuk badam dan kacau sebati.
  3. Ayakkan tepung Redrose bersama tepung gandum ke dalam adunan, kemudian adun sehingga menjadi doh yang boleh dibulatkan.
  4. Ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart. Saya menggunakan acuan tart paling kecil berdiameter 3.5 cm. Kemaskan bahagian tepi tart kemudian cucuk-cucuk bahagian bawah tart dengan garfu kecil.  Jika acuan tart yang digunakan ialah acuan baru, panaskan sebentar dalam ketuhar pada suhu 150℃ selama 10 minit, kemudian sejukkan sebelum digunakan.
  5. Bakar kulit tart pada suhu 170℃ selama 25 minit, atau sehingga kulit tart berwarna coklat muda (separuh masak).  Pastikan ketuhar telah dipanaskan terlebih dahulu selama 10 ke 15 minit.
  6. Setelah itu, keluarkan tart dari ketuhar dan ketepikan dahulu sementara kita siapkan inti.



Inti :





  1. Bakar kepingan badam, biji labu dan biji bunga matahari pada suhu 150℃ selama 10 minit dan sejukkan sebentar.
  2. Hancurkan sedikit kepingan badam supaya mudah nak muat kulit tart yang kecil tu, tapi tak perlu terlalu hancur ya.
  3. Di dalam sebuah mangkuk, campurkan kesemua bahan inti dan gaul sebati.  Ketepikan dahulu.




Karamel :








  1. Masak bersama gula, krim, mentega dan sirap glucose menggunakan api sederhana.
  2. Kacau sekali-sekala supaya tidak hangus dan masak sehingga karamel menggelegak dan agak pekat.
  3. Kecilkan api dan masukkan campuran inti.  Gaul sebati kemudian padamkan api.




Tart Florentine :







  1. Ambil dalam 3/4 sudu kecil inti yang telah bersalut karamel tadi dan sudukan ke dalam kulit tart.  Jangan isi terlalu penuh supaya inti tidak terkeluar sewaktu tart dibakar semula.
  2. Anda boleh pegang pakai tangan sahaja setelah intinya sejuk, ambil sedikit dan kepalkan, kemudian masukkan ke dalam kulit tart.
  3. Ulang sampai kesemua kulit tart selesai.
  4. Baki inti anda boleh bakar dalam mini muffin pan anti-lekat yang dioles sedikit mentega.
  5. Bakar pada suhu 160℃ selama 30 minit pada rak kedua bawah/rak tengah, menggunakan api atas bawah, sehingga intinya berwarna keemasan.  Pastikan ketuhar dipanaskan selama 10 ke 15 minit sebelum membakar.
  6. Setelah masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan tart dalam acuan sehingga suam.
  7. Keluarkan tart dari acuan dan sejukkan sepenuhnya di atas redai kuih.
  8. Setelah tart sejuk sepenuhnya, simpan tart di dalam bekas kedap udara.








0 comments :

Post a Comment