Resepi Kuih Koci Pulut Hitam Bersantan Tanpa Perlu Kukus

Friday, March 11, 2022

Resepi Kuih Koci Pulut Hitam Bersantan Tanpa Perlu Kukus


 



Assalamualaikum readers...


Selepas cubaan kali kedua membuat koci pulut hitam dengan dadih bersantan yang lemak berkrim, akhirnya dapat juga rasa koci pulut hitam yang kena dengan selera kami.  Happy je my Hubby dapat lepas gian nak makan koci pulut hitam selepas beberapa lama kempunan nak makan.

Resepi koci pulut hitam ni saya tidak menggunakan tepung pulut hitam readymade tu, tapi saya menggunakan beras pulut hitam yang telah direndam semalaman, kemudian saya masak dalam 20 minit bersama sedikit garam, air dan santan pekat supaya beras pulut tu menjadi lebih lembut.  Setelah itu, barulah saya kisar untuk dapatkan patinya untuk membuat doh koci.


Untuk doh koci, saya campurkan tepung pulut bersama sedikit tepung gandum supaya tekstur kocinya tidak terlalu lembut dan terlalu kenyal, dan hasilnya koci lebih lembut.  Inti kelapanya boleh disediakan awal dan disimpan di dalam peti sejuk.  Inti kelapa ini saya menggunakan gula merah dan sedikit gula pasir untuk menambah rasa manis.  Saya tak pakai gula Melaka sebab stok gula Melaka di rumah tinggal dua blok kecil je, saya nak simpan mana tau nanti my Hubby nak request kek pandan gula Melaka feveret dia, so, bolehlah buat.






Untuk dadihnya, ada dua versi.  Pertama, versi leleh, yang ni versi cair yang mana kocinya perlu dimakan dengan sudu.  Untuk membuat dadih bersantan versi ini, anda perlu kurangkan separuh dari sukatan tepung jagung dan tepung beras untuk resepi dadih saya ni.  Kami kurang suka pulak dengan dadih yang versi leleh ni, sebab tu saya buat dadih yang versi kedua, iaitu dengan tekstur yang lebih pejal, ala-ala tekstur bubur sum-sum.


Dalam video, part masa saya buat demo makan tu, bila saya buka koci tu nampak macam lembik dadihnya.  Masa saya record video agak kelam kabut sebab nak kejar masa, jadi lepas saya bungkus koci tu saya terus buka untuk shooting seterusnya.  Tapi kalau anda tunggu dalam 30 minit selepas bungkus koci tu, tekstur dadih akan lebih pejal dan kemas, daun pisang tidaklah terlalu comot.


Koci versi ini tidak perlu dikukus lagi sebab kocinya telahpun direbus secukupnya sehingga timbul pada permukaan air rebusan, manakala dadihnya telah dimasak sehingga betul-betul tanak, iaitu sampai dadih meletup-letup dan berkilat supaya tidak mudah basi, sementara daun pisangnya juga telah dilayurkan sebelum digunakan untuk membungkus koci.  Tapi kalau anda nak rasa harum daun pisang tu lebih meresap pada koci, bolehlah kukus sekejap lepas balut tu dalam 5 minit gitu.






BERAPA LAMA KUIH KOCI NI BOLEH BERTAHAN?

Kuih koci ini tidak mudah basi sebab pati pulut hitamnya kita telah rebus, jadi santan pada doh sudah cukup masak sebelum dibancuh ke dalam doh koci, sementara kocinya juga kita telah rebus dengan sempurna sebelum dibungkus.  jadi koci ini boleh bertahan sehari sahaja pada suhu bilik.  Ia tahan selama 5 ke 6 hari dalam peti sejuk jika disimpan dalam bekas bertutup.  Kalau difrozenkan, koci boleh bertahan sampai dua bulan.

Untuk rasa yang lebih sedap, kukus semula kuih koci yang telah disimpan dalam peti sejuk/ freezer supaya rasanya lebih segar dan teksturnya lembut semula sebelum dinikmati.



Tonton Video Saya Di Sini 👇





Overall, kami berpuas hati dengan hasil koci pulut hitam kali ni (sebab tu excited nak share resepi 😄).  Tekstur kocinya lembut dan kenyal, tetapi tidaklah bonyok atau terlalu lembik atau liat, dengan inti kelapa yang manisnya sedang-sedang je, memang padan dengan rasa lemak masin dadih bersantannya.

Bagi yang minat sangat makan kuih koci pulut hitam ni, lepas ni bolehlah cuba buat sendiri, lepas tu buat lebih dan frozenkan untuk stok bulan Ramadhan nanti.


Selamat mencuba!




KUIH KOCI PULUT HITAM BERSANTAN







Kategori : Kuih Melayu

Masa Penyediaan : 1 jam 5 minit

Masa Memasak : 1 jam 20 minit

Jumlah Hidangan :  33 keping




BAHAN-BAHAN



Inti Kelapa :


96 gram gula merah  | 2/3 cawan

25 gram gula pasir  | 2 sudu besar

1/4 sudu teh garam

180 ml air  | 3/4 cawan

290 gram kelapa parut  | 2 cawan

30 gram tepung gandum  | 1/4 cawan

2 helai daun pandan (simpul)



Doh Koci :


50 gram beras pulut hitam  | 1/4 cawan (rendam semalaman / 5 jam dengan air panas)

430 ml air  |  1 & 3/4 cawan  

40 gram santan pekat / santan KARA  | 3 sudu besar

1/2 sudu teh garam

280 gram tepung pulut  | 2 & 1/2 cawan

30 gram tepung gandum  | 1/4 cawan



Dadih Bersantan :


300 ml santan segar  |  1 cawan & 3.5 sudu besar

250 ml air  | 1 cawan

28 gram tepung beras  | 1/4 cawan

28 gram tepung jagung  | 1/4 cawan

3/4 ke 1 sudu teh garam



Bahan Lain :


Daun pisang secukupnya




CARA MEMBUAT



Daun Pisang :





  1. Potong daun pisang dengan lebar 5 ke 5.5 inci dan panjang 6 inci.  Trim bahagian tepinya.
  2. Bersihkan daun pisang di bawah air mengalir kemudian lap kering.
  3. Layur di atas api untuk lembutkan daunnya.
  4. Selain cara di atas, boleh juga bersihkan dahulu daun pisang, kemudian layur di atas api dan potong mengikut saiz yang dikehendaki. (Saya suka potong kecil-kecil dahulu baru basuh untuk elak dapur menjadi basah).



Inti Kelapa :






  1. Di dalam periuk kecil, masak gula merah, gula pasir, garam dan air dengan api sederhana sehingga gula larut.
  2. Tapis air gula dan masukkan ke dalam kuali.
  3. Masukkan kelapa parut dan daun pandan kemudian masak inti kelapa sehingga air gula hampir pekat dan mendidih.  Kacau selalu supaya inti tidak hangus.
  4. Masukkan tepung gandum dan kacau sebati.
  5. Masak sehingga inti garing dan pekat.
  6. Sejukkan inti sebelum dibulat-bulatkan.
  7. Ambil dalam 10 gram inti kemudian bulat-bulatkan.  Buat sampai habis.



Doh Koci :





  1. Rebus beras pulut hitam yang telah direndam bersama garam, air dan santan pekat. (Dalam video saya rebus dengan 250 ml dulu, kemudian baru saya tambah lagi 180 ml air semasa mengisar). Anda boleh masukkan terus 430 ml air untuk direbus bersama beras pulut hitam.
  2. Rebus selama 20 minit dengan api sederhana rendah, sehingga beras pulut hitam agak lembut.
  3. Sejukkan sebentar campuran kemudian kisar untuk dapatkan pati pulut hitam.
  4. Tapis campuran yang dikisar dan gunakan patinya untuk membuat doh koci.  Sejukkan dahulu sebelum digunakan.
  5. Di dalam mangkuk pengadun, masukkan tepung gandum dan tepung pulut.  Kacau sebati.
  6. Masukkan pati pulut hitam sedikit demi sedikit sambil menguli sampai menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.  (Tak semua pati akan digunakan ya, bergantung kepada adunan).



Bentukkan Koci :






  1. Ambil dalam 20 gram doh, bulatkan dan leperkan pada tapak tangan.
  2. Letak sebiji inti kelapa di tengah doh kemudian tutup doh dengan rapat.
  3. Bulatkan dan susun dalam loyang yang dialas plastik/ kertas pembakar / dilenser sedikit minyak supaya tidak melekat.
  4. Buat sampai habis. 



Dadih Bersantan :






  1. Di dalam periuk, masukkan santan, air, tepung jagung, tepung beras dan garam.
  2. Whisk sebati kemudian baru buka api.
  3. Masak dengan api sederhana ke sederhana rendah dan sentiasa kacau sehingga adunan menjadi pekat, berkilat dan meletup-letup.
  4. Pindahkan dadih ke dalam mangkuk tahan panas.



Merebus Koci :






  1. Panaskan air yang banyak di dalam periuk sehingga air mendidih.
  2. Masukkan koci dan rebus dengan api sederhana sehingga koci timbul pada permukaan air.  Kalau nak tahan lagi lama, rebus koci lama sikit biar betul-betul masak ya.
  3. Jangan lupa sekali-sekala kacau perlahan koci supaya tidak melekat pada bahagian bawah periuk sewaktu direbus.
  4. Setelah koci masak, angkat menggunakan senduk yang berlubang  (slotted spoon) / penapis dan terus masukkan ke dalam dadih tadi.
  5. Salut koci dengan dadih.



Membungkus Koci :






  1. Koci yang telah disalut dengan dadih boleh terus dibungkus dengan daun pisang, tak perlu tunggu sejuk dahulu.
  2. Untuk membungkus, letakkan sebiji koci di tengah daun pisang, biasanya kita letak pada belah yang lebih kelam warnanya, bahagian daun pisang yang warnanya lebih gelap di bahagian luar.
  3. Lipat satu bahagian daun yang lebih panjang menutup koci, kemudian lipat bahagian daun yang bertentangan supaya bertindih.
  4. Untuk bahagian sisinya, lipat belah kiri dan kanannya ke dalam (seperti membungkus hadiah), kemudian lipat ke bawah koci.  Ulang untuk bahagian sisi yang lagi satu.
  5. Ulang sehingga habis.
  6. Koci yang telah dibungkus tidak perlu lagi dikukus, tapi kalau nak aroma daun pisang lebih meresap ke dalam koci bolehlah kukus dalam 5 ke 10 minit.







0 comments :

Post a Comment