Resepi Vanilla Slice Cake Dengan Strawberi
Assalamualaikum readers...
Kali ini saya akan kongsikan satu resepi kek potong yang mudah untuk disediakan dengan rasa yang setaraf kek potong di kedai bakeri. Kek potong vanilla atau Vanilla Slice Cake ni memang cukup simple, adunan dasar keknya saya gunakan adunan untuk membuat swiss roll dan saya gunakan buttercream frosting yang saya tambah dengan non-dairy whipping krim atau fresh cream dan jus lemon untuk menambah keenakan frosting dengan rasa masam-masam dari jus lemon.
Vanilla slice cake ni saya tambahkan buah strawberi sebab kebetulan kat rumah masih ada buah strawberi dan juga sedikit strawberry filling. Kombinasi rasa kek chiffon vanilla dengan strawberi dan buttercream dengan lemon ni memang padu dan sedap, rasanya masam manis dengan tekstur kek yang selembut kapas. My Hubby suka betul makan kek ni, sekejap je habis!
Kek ni saya menggunakan hiasan yang simple tapi tetap tampak elegant. Buttercream frostingnya akan jadi pejal (firm) jika kek disimpan dalam peti sejuk. Disebabkan kek ini menggunakan non-dairy whipping cream (krim putar bukan tenusu), frostingnya tidak akan cair pada suhu bilik, jadi kalau agak-agak nak hidangkan kek ni untuk tetamu semasa jamuan, boleh hidangkan tanpa was-was ya😆
Tonton Video Di Sini 👇
Bagi yang minat dengan variasi kek potong, boleh cuba resepi Vanilla slice cake ni. Kek ni sesuai dijadikan hidangan untuk jamuan atau buat dessert pun sedap.
Selamat mencuba!
Vanilla Slice Cake Dengan Strawberi
Kategori : Kek
Masa Penyediaan : 40 minit
Masa Membakar : 30 minit
Jumlah Hidangan : 8 orang
BAHAN-BAHAN
Kek Chiffon Vanilla :
5 biji kuning telur gred A (suhu bilik)
50 gram gula kastor/ gula pasir halus | 1/4 cawan
1/4 sudu teh garam
60 ml susu segar/ susu penuh krim | 1/4 cawan
60 ml minyak jagung | 1/4 cawan
2 sudu teh esen vanila
95 gram tepung gandum | 3/4 cawan
7 gram tepung jagung | 1 sudu besar
2 gram baking powder | 1/2 sudu teh
5 biji putih telur gred A (suhu bilik)
4 gram cream of tartar | 1 sudu teh * boleh ganti dengan 1 sudu teh jus lemon
70 gram gula kastor/ gula pasir halus | 1/3 cawan
Lemon Buttercream Frosting :
250 gram mentega tanpa garam (lembutkan) | 1 cawan
150 gram gula icing | 1 cawan & 4 sudu besar
1/4 sudu teh garam
185 gram krim putar bukan tenusu | 3/4 cawan (sejuk)
15 ml jus lemon | 1 sudu besar
Bahan Hiasan :
15 biji buah strawberi
Strawberry filling secukupnya
CARA PENYEDIAAN
Kek Chiffon Vanilla :
- Panaskan ketuhar pada suhu 180℃.
- Di dalam mangkuk pengadun, whisk kuning telur bersama gula dan garam sehingga adunan berwarna pucat.
- Masukkan susu, minyak jagung dan esen vanila dan whisk sehingga sebati.
- Ayakkan tepung gandum, tepung jagung dan baking powder ke dalam adunan dan whisk sehingga sebati sahaja.
- Di dalam mangkuk lain, pukul putih telur bersama cream of tartar/jus lemon dengan kelajuan sederhana sehingga adunan berbuih halus (frothy).
- Masukkan gula dengan tiga peringkat, dan pukul meringue selama 30 saat setiap kali selepas masukkan gula.
- Selepas masukkan bahagian gula yang terakhir, pukul meringue sehingga bertanduk (medium peak). Bila anda angkat beaters, tanduk meringue melengkung ke bawah.
- Masukkan 1/3 meringue ke dalam mangkuk berisi adunan kuning telur. Kaup balik menggunakan whisk sehingga sebati dan warna adunan sekata sahaja.
- Tuang campuran ke dalam baki meringue dan kaup balik menggunakan spatula sehingga sebati dan warna adunan sekata.
- Tuang adunan ke dalam loyang pembakar berukuran 36 cm x 25 cm x 2 cm yang telah dialas dengan kertas pembakar.
- Ratakan adunan menggunakan scraper sampai adunan sekata pada seluruh permukaan loyang.
- Hentak loyang beberapa kali untuk memecahkan gelembung udara dalam adunan.
- Bakar selama 20 minit pada rak kedua dari bawah, dengan api atas bawah sehingga lidi pencucuk bersih jika dicucuk pada bahagian tengah kek, atau kek menganjal bila ditekan pada bahagian tengahnya.
- Setelah masak, keluarkan dari ketuhar dan hentak sekali atau dua kali pada permukaan untuk elak kek dari mengecut.
- Alihkan kek ke atas redai dan sejukkan sementara kita siapkan buttercream frosting.
Lemon Buttercream Frosting :
- Di dalam mangkuk pengadun, pukul sebentar mentega tanpa garam yang telah dikeluarkan dari peti sejuk dalam 30 minit dengan kelajuan sederhana.
- Ayakkan gula icing ke dalam adunan dan pukul adunan sehingga kembang dan berkrim.
- Masukkan garam dan pukul sebati.
- Masukkan krim putar bukan tenusu dan pukul sehingga adunan berkrim.
- Masukkan jus lemon dan pukul sebati.
- Masukkan frosting ke dalam beg plastik piping supaya mudah untuk dipaipkan pada kek.
Persediaan Bahan Hiasan :
- Belah dua empat biji buah strawberi dengan daunnya tidak dipotong.
- Baki buah strawberi dibuang bahagian daunnya kemudian dihiris 4 atau 5, jangan terlalu nipis ya.
- Masukkan strawberry filling ke dalam beg plastik piping supaya mudah untuk dipaipkan pada kek.
Menghias Kek :
- Setelah kek sejuk, bahagian kek kepada dua bahagian sama rata secara menegak ya, bukan melintang.
- Letak satu bahagian kek di atas papan kek segiempat kemudian paipkan strawberry filling diatasnya dan ratakan menggunakan offset spatula. Strawberry filling tidak perlu terlalu tebal ya.
- Paipkan sebahagian buttercream frosting di atas strawberry filling kemudian ratakan menggunakan offset spatula.
- Susun hirisan buah strawberi di atas buttercream frosting kemudian paipkan sedikit frosting dan ratakan untuk melekatkan hirisan strawberi.
- Letak sebahagian lagi kek di atasnya dan paipkan baki frosting.
- Ratakan krim sehingga permukaan frosting licin.
- Buat pattern di atas kek menggunakan frosting comb.
- Potong bahagian tepi kek dan lap pisau pemotong setiap kali selepas memotong.
- Kemudian, potong kek kepada 8 bahagian sama besar.
- Hias kek dengan buah strawberi yang dibelah dua.
- Kek sedia dihidang!
0 comments :
Post a Comment