Resepi Biskut Kacang Lotus Biscoff
Assalamualaikum readers...
Salah satu biskut raya yang wajib ada bila tibanya musim perayaan ialah biskut kacang tanah, atau lebih mesra dipanggil sebagai biskut Mazola.
Biskut kacang tanah ni dibuat menggunakan minyak jagung berjenama Mazola, sebab tulah namanya biskut Mazola. Biskut ini tidak menggunakan mentega, dan bahan-bahannya pun sangat ringkas seperti gula icing, kacang tanah yang disangai atau dibakar, dibuang kulit dan dikisar, tepung gandum, garam dan minyak Mazola.
Resepi biskut kacang kali ini saya modenkan sikit dari resepi biskut kacang Mazola yang saya pernah kongsikan sebelum ini dengan menggabungkan kacang tanah dengan kacang gajus yang dibakar dan dikisar.
Tidak hanya menambah kacang gajus, saya juga menggunakan sapuan Lotus Biscoff untuk biskut kacang ni.
Rasanya lebih rich, nutty dengan sedikit rasa karamel yang unik dari sapuan Lotus Biscoff.
Saya juga menggunakan gula perang yang saya kisar sehingga halus untuk menggantikan gula icing dalam resepi biskut ni.
Tonton Video Di Sini 👇
Untuk biskut kacang Lotus Biscoff ni, saya menggunakan acuan biskut tembaga yang berbentuk bunga.
Acuan ni saya baru beli di Shopee, sebab tu teruja je nak pakai. Hehe..
Alhamdulillah...nampak cantik pula kejadian biskut ni, sesuai dengan "aura" biskut ni. 😆
Tekstur biskut ni rangup dan cair di mulut dan rasanya tidak terlalu manis.
Bagi peminat biskut Mazola atau biskut kacang, bolehlah cuba variasi biskut kacang yang menggunakan sapuan Lotus Biscoff ni.
Selamat mencuba!
Biskut Kacang Lotus Biscoff
Kategori : Biskut Raya, Biskut Berterap (Rolled Cookies)
Masa Penyediaan : 40 minit
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Biskut : Anggaran 90 keping
BAHAN-BAHAN
Untuk Dipanggang :
215 gram kacang tanah | 1 & 1/3 cawan
70 gram kacang gajus | 1/2 cawan
Doh Biskut :
160 gram kacang tanah yang dipanggang | 1 cawan
Kacang gajus yang dipanggang | 1/2 cawan
335 gram tepung gandum | 2 & 2/3 cawan
55 gram tepung jagung | 1/2 cawan
2 gram baking powder | 1 sudu teh
100 gram gula perang | 1/2 cawan (kisar halus)
3 gram garam | 1/2 sudu teh
60 gram sapuan Lotus Biscoff | 3 sudu besar (cairkan dan biarkan sejuk)
Anggaran 190 ml minyak jagung | 2/3 cawan & 2 sudu besar
Hiasan :
Baki kacang tanah panggang (dibelah dua)
Sapuan telur : 1 biji kuning telur + 1 sudu besar susu/air + 1/4 sudu teh pewarna kuning
CARA MEMBUAT :
- Panaskan ketuhar pada suhu 150℃. Panggang kacang tanah dan kacang gajus selama 30 ke 35 minit dengan api atas bawah.
- Setelah kacang masak, keluarkan dan biarkan sejuk. Tanggalkan kulit kacang tanah dan asingkan 160 gram (1 cawan) untuk dicampur ke dalam doh biskut. Baki kacang tanah dibelah dua untuk dijadikan hiasan pada biskut.
- Kisar halus 160 gram kacang tanah yang dibuang kulitnya bersama kacang gajus.
- Ayak bersama tepung gandum, tepung jagung dan baking powder ke dalam mangkuk pengadun.
- Masukkan garam dan kacang kisar dan adun sebati menggunakan senduk/spatula.
- Masukkan sapuan Lotus Biscoff dan adun sebati menggunakan tangan.
- Tuang minyak jagung sedikit demi sedikit dan uli sehingga adunan menjadi doh yang boleh dibulatkan dan tidak berderai.
- Bungkus doh dengan cling wrap/ simpan doh di dalam bekas bertutup dan sejukkan selama 30 minit supaya bila dicanai biskut menjadi cantik.
- Panaskan ketuhar pada suhu 170℃.
- Selepas 30 minit, keluarkan doh dari peti sejuk dan canai setebal 0.8 cm ke 1 cm. Canai doh di antara dua helai kertas pembakar atau plastik supaya doh tidak melekat pada kayu pencanai.
- Terap menggunakan acuan pilihan. Celup acuan dalam tepung dahulu dan hentak perlahan supaya baki tepung pada acuan tertanggal.
- Susun biskut di atas loyang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar atau diglis dengan mentega. Jarakkan sedikit antara biskut supaya tidak melekat antara satu sama lain.
- Letakkan kacang tanah yang telah dibelah dua di bahagian tengah setiap biskut dan tekan perlahan supaya melekat.
- Oles permukaan biskut dengan sapuan telur. Sapu tebal ya supaya cantik dan kacang melekat.
- Bakar biskut selama 20 ke 20 minit menggunakan api atas bawah pada rak kedua bawah.
- Setelah biskut masak, sejukkan biskut sebentar dalam loyang sebelum disejukkan sepenuhnya di atas redai.
- Simpan biskut di dalam bekas kedap udara.
0 comments :
Post a Comment