Resepi English Muffin Simple

Wednesday, July 19, 2023

Resepi English Muffin Simple


 




Assalamualaikum readers...


English Muffin, sejenis roti beryis yang biasanya dimasak menggunakan kuali leper dan disalut dengan cornmeal, tepung suji atau pun tepung jagung. Rasa rotinya tidak buttery seperti roti biasa sebab penggunaan mentega nya sedikit, ada sebahagian resepi tidak menggunakan mentega lansung, hanya pakai minyak masak sahaja.

Tekstur English Muffin ni di dalamnya agak berongga, cara membelahnya pun menggunakan garfu supaya permukaan dalam English Muffin tidak sekata, jadi kalau sapu jem rasa jem tu akan meresap lebih dalam.  Disebabkan English muffin ialah sejenis roti yang rasanya lebih ringan, tidak rasa buttery atau manis, English muffin sesuai dinikmati dengan sapuan yang manis seperti mentega kacang, Nutella dan jem atau pun dinikmati bersama telur goreng, keju dan chicken slices, macam English muffin ala-ala McMuffin yang dijual di McDonald tu.



Tonton Video Di Sini :






English Muffin boleh disimpan dengan cara :

  • Disimpan di dalam peti sejuk - English muffin yang telah sejuk boleh disimpan di dalam beg ziploc, plastik atau bekas bertutup sebelum disimpan dalam peti sejuk. English muffin boleh bertahan selama 2 minggu.
  • Difrozenkan - English muffin yang telah sejuk perlu disimpan dalam ziploc atau plastik (jangan ditindih ya) atau boleh disimpan dalam bekas bertutup (yang ni perlu lapik dengan plastik/kertas baking untuk setiap lapisan supaya tidak melekat). Boleh difrozenkan sehingga 2 bulan.






Cara menggunakan English muffin yang difrozenkan :

  • Keluarkan frozen English muffin dari freezer dan biarkan pada suhu bilik selama 30 minit sebelum dibelah dua dan dipanggang sebentar.
  • Atau, pindahkan frozen English muffin ke bahagian chiller untuk "slow defrost" semalaman sebelum digunakan pada keesokan harinya.




English Muffin







Kategori : Roti

Masa Penyediaan : 25 minit

Masa Rehat : 2 jam

Masa Memasak : 15 minit

Jumlah Hidangan : 10 keping




BAHAN-BAHAN



220 ml susu segar/susu penuh krim (suam kuku) | 3/4 cawan & 2.5 sudu besar

12 gm gula pasir | 1 sudu besar

4 gm yis segera | 1 & 1/4 sudu teh (saya pakai Saf Instant Gold)

315 gm tepung roti / tepung berprotein tinggi | 2 & 1/2 cawan

5 gm garam | 1 & 1/4 sudu teh

23 gm mentega/marjerin | 1 & 1/2 sudu besar


Salutan :


Tepung suji/cornmeal/tepung jagung secukupnya



CARA MEMBUAT:


  1. Di dalam sebuah mangkuk, campur bersama susu, gula pasir dan yis segera. Whisk sebentar. 
  2. Ayakkan tepung roti ke dalam adunan (jika menggunakan tepung roti baru tidak perlu ayak), masukkan garam, gaul sebati menggunakan spatula dahulu.
  3. Adun pakai tangan sehingga terbentuk doh kasar. 
  4. Tutup mangkuk dengan kain bersih dan rehatkan selama 20 minit.
  5. Selepas 20 minit, masukkan mentega/marjerin dan adun sehingga meresap ke dalam doh.
  6. Pindahkan doh ke atas permukaan kerja/papan pencanai dan uli sehingga permukaan doh licin dan elastik, selama 10-15 minit, bergantung kepada kekuatan tangan juga.
  7. Bulatkan doh dan masukkan semula ke dalam mangkuk yang telah dioles dengan sedikit minyak masak.  Tutup mangkuk dengan cling wrap dan rehatkan selama 1 jam, atau sehingga doh mengembang sebanyak dua kali ganda.
  8. Selepas 1 jam, tabur sedikit tepung gandum pada permukaan kerja/ papan pencanai dan telangkupkan doh ke atasnya. Tekan-tekan doh untuk kempiskannya.
  9. Bahagikan doh menjadi 10 bahagian, lebih kurang 57 gram setiap bahagian.
  10. Bulatkan setiap bahagian doh.
  11. Tutup bebola doh dan rehatkan selama 15-20 minit supaya doh mudah untuk dibentuk.
  12. Selepas 20 minit, tabur tepung suji/cornmeal/tepung jagung di atas permukaan kerja/papan pencanai. 
  13. Ambil bebola doh yang pertama, salut dengan tepung suji/cornmeal/tepung jagung dan tekan-tekan menggunakan tangan tadi sehingga menjadi setebal 1.5 cm.
  14. Susun di atas dulang yang telah ditabur sedikit  tepung suji/cornmeal/tepung jagung.
  15. Ulang sehingga selesai.  Jarakkan sedikit antara doh supaya tidak melekat.
  16. Tutup doh dengan plastik/kain bersih dan rehatkan 40-50 minit, atau sehingga mengembang dua kali ganda.
  17. Selepas 40 minit, panaskan kuali leper anti lekat dengan api sederhana rendah dan lenser dengan sedikit minyak masak.
  18. Setelah kuali panas, angkat doh muffin dengan perlahan dan letakkan di dalam kuali, jangan masak banyak sekali gus supaya mudah untuk dibalikkan. 
  19. Tutup kuali dengan penutup kuali dan masak dengan api sederhana kecil selama anggaran 7 minit, atau sehingga bahagian bawah muffin keemasan, balikkan muffin, tutup semula kuali dan masak lagi selama anggaran 7 minit, sehingga kedua-dua belah muffin masak dengan sekata.
  20. Setelah masak, angkat dan sejukkan di atas redai supaya bahagian bawah muffin sentiasa garing.
  21. Biarkan muffin sejuk sebelum digunakan atau disimpan.






CARA MEMBUAT ENGLISH MCMUFFIN :


  1. Cucuk-cucuk bahagian tepi English muffin menggunakan garfu untuk membelah dua, atau boleh juga belah pakai pisau bergerigi.
  2. Cairkan sedikit mentega di dalam kuali leper dan masukkan English muffin (bahagian dalamnya berada di bawah supaya mentega meresap ke dalam muffin. Panggang seketika sehingga sedikit kecoklatan.  Angkat dan ketepikan.
  3. Goreng telur menggunakan ring telur dan goreng bologna ayam.
  4. Letak satu bahagian muffin di atas pinggan, letak sekeping keju cheddar, diikuti dengan bologna ayam dan telur. Tutup dengan satu bahagian muffin lagi. Siap!

0 comments :

Post a Comment