Resepi Kuih Lompang Pandan
Assalamualaikum readers...
Salah satu kuih tradisional yang mudah disediakan ialah kuih lompang. Biasanya ada tiga variasi kuih lompang yang biasa kita makan, iaitu kuih lompang gula merah, kuih lompang berwarna-warni dan kuih lompang pandan.
Resepi kali ini ialah kuih lompang pandan yang lembut dan harum dengan rasa dari jus pandan segar. Kuih lompang pandan ini unik bukan saja dari segi rasanya, tetapi juga dari segi rupanya. Kuih lompang ni istimewa kerana kuih ini dikukus di dalam acuan lompang dan kuih ini akan mempunyai lekuk atau lesung pipit di bahagian tengahnya setelah dikukus.
Rasa kuih lompang pandan ini tidak terlalu manis, dengan rasa harum jus pandan, memang enak jika dipadankan dengan kelapa parut yang lemak dan sedikit masin. Air kapur penting untuk membuat kuih lompang, sama seperti kuih lopes dan kuih kaswi kerana air kapur memberi rasa yang unik pada kuih lompang. Tetapi hati-hati jangan sampai terletak lebih pes kapurnya kerana bimbang akan memberi rasa pahit pada kuih lompang. Ambil sedikit saja pes kapurnya dan selebihnya tambah dengan air. Teskturnya lembut dan sedikit kenyal dan sedap dinikmati ketika sedikit hangat ataupun sejuk.
Cara Menyimpan Kuih Lompang Pandan :
Kuih Lompang Pandan boleh dibiarkan selama satu hari pada suhu ruang, manakala kuih lompang ini boleh disimpan sehingga empat hari di dalam peti sejuk. Kelapa parutnya perlu dikukus dahulu supaya tidak cepat basi dan hanya salut atau letakkan di atas kuih lompang ketika hendak dihidangkan.
Saya tidak sarankan untuk memfrozen kuih lompang kerana bimbang teksturnya akan berubah.
Tonton Video di Sini :
Jika anda tidak mempunyai acuan kuih lompang, boleh saja adunannya dikukus di dalam loyang biasa. Cuma lekuk atau lesung pipitnya saja yang tidak akan ada ya. Rasanya akan tetap sama sedapnya.
Kuih lompang pandan ini sesuai dijadikan sajian pencuci mulut atau dinikmati sebagai sajian minum petang bersama secawan teh. Selamat mencuba!
Kuih Lompang Pandan
Kategori : Kuih Melayu
Masa Penyediaan : 10 minit
Masa Mengukus : 20 minit
Jumlah Hidangan : Anggaran 16 keping
BAHAN-BAHAN
20 gm daun pandan (10-12 helai untuk saiz kecil atau 5-6 helai untuk saiz besar)
500 ml air (2 cawan)
100 gm gula pasir (1/2 cawan)
15 ml air kapur (1 sudu besar)
170 gm tepung beras (1 & 1/2 cawan)
8 gm tepung ubi/jagung (1 sudu besar)
1/4 sudu teh garam
Sedikit pewarna hijau
Sedikit pewarna kuning telur
Topping :
1 cawan kelapa parut
1/3 sudu teh garam
CARA MEMBUAT
- Kisar daun pandan bersama air. Tapis air daun pandan ke dalam mangkuk pengadun menggunakan penapis berjaring halus.
- Masukkan gula, air kapur, tepung beras, tepung ubi atau tepung jagung dan garam.
- Gunakan whisk dan whisk sebati.
- Tambah sedikit pewarna hijau dan pewarna kuning telur untuk mendapatkan warna kuih yang cantik. Whisk sebati.
- Tapis adunan ke dalam jug penyukat supaya mudah nak tuang ke dalam acuan lompang nanti.
- Didihkan air di dalam pengukus.
- Oles acuan lompang dengan minyak masak dan kukus sebentar selama 3 hingga 5 minit.
- Tuang adunan lompang sehingga hampir penuh. Jangan lupa kacau dahulu adunan sebelum dituang ke dalam acuan.
- Kukus selama 20 hingga 30 minit, dengan api sederhana besar. Pastikan penutup pengukus dibalut dengan tuala yang tebal supaya wap air tidak menitik pada permukaan kuih. Jangan buka penutup pengukus sewaktu mengukus kuih supaya lekuk atau lesung pipit terbentuk cantik pada kuih.
- Setelah masak, biarkan kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.
- Untuk topping, gaul sebati kelapa parut dengan garam dan kukus sebentar selama 5 ke 10 minit.
- Hidangkan kuih lompang bersama kelapa parut yang telah dikukus.
0 comments :
Post a Comment