Resepi Muffin Pisang Coklat Chip

Tuesday, August 8, 2023

Resepi Muffin Pisang Coklat Chip


 



Assalamualaikum readers...


Muffin Pisang merupakan salah satu menu olahan pisang yang mudah untuk disediakan, selain dari rasanya yang enak, apatah lagi jika dibuat menggunakan pisang yang sudah masak ranum.  Rasanya manis-manis pisang dan moist, sesuai dinikmati sebagai menu untuk sarapan pagi atau snek minum petang.  Bukan itu saja, muffin pisang ini sangat sesuai dijadikan door gift atau hidangan sampingan untuk pelbagai jamuan.


Okey, kita dah tahu keenakan muffin pisang ini kan? Resepi muffin pisang yang saya ingin kongsikan kali ini ialah versi yang ditambah coklat chip.  Siapa yang tidak sukakan coklat? Kanak-kanak yang tidak sukakan muffin pisang pun akan jatuh cinta dengan muffin pisang coklat chip ni. Apatah lagi kalau kita letak coklat chip yang premium macam Callebaut callets tu kan, lagilah sedap muffin pisang coklat chip kita nanti kerana Callebaut callets ni akan cair je selepas dibakar.  





Selain menggunakan coklat chip, saya menambah sedikit serbuk kayu manis ke dalam adunan muffinnya dan hasil perpaduan antara pisang, coklat chip dan serbuk kayu manis memang menghasilkan rasa muffin pisang yang rich, chocolatey dan ada sedikit rasa rempah yang tidak terlalu kuat. Ianya tidaklah rasa terlalu berempah seperti kek lapis rempah tu ya, jadi tidak perlu risau.  


Jika anda biasa letak susu dalam muffin pisang anda, kali ini saya ingin anda cuba versi muffin pisang yang menggunakan buttermilk pula.  Penggunaan buttermilk dalam muffin pisang bukan sahaja menambah sedikit rasa tangy atau masam, disebabkan kandungan asid di dalam buttermilk itu.  Selain menambah rasa, penggunaaan buttermilk juga membuatkan tekstur muffin pisang semakin lembut, dengan kerak muffin yang lebih halus kerana asid di dalam buttermilk akan berinteraksi dengan baking soda untuk menghasilkan gas-gas karbon dioksida yang akan membuatkan muffin lebih gebu dan lembut.  Biasanya saya membuat sendiri sahaja buttermilk di rumah dengan mencampurkan susu dengan cuka atau jus lemon.



Tonton Video di Sini :




Cara menyediakan muffin pisang coklat chips ini tersangatlah mudah kerana tidak melibatkan penggunaan mixer langsung.  Hanya diadun menggunakan balloon whisk sahaja.  Untuk muffin pisang coklat chip ini, jika anda tidak ada ketuhar di rumah, boleh sahaja dikukus.


Cara mengukus muffin pisang coklat chip :

Didihkan air dahulu di dalam pengukus, kukus muffin dengan api sederhana selama 25 ke 30 minit, atau sehingga lidi pencucuk bersih ya jika dicucuk di bahagian tengah muffin.  Balut penutup pengukus dengan kain yang tebal supaya tiada wap air yang menitik di permukaan muffin.  Jangan buka penutup pengukus sewaktu muffin dikukus supaya muffin tidak bantat.


Muffin pisang coklat chip ini lebih sedap jika dinikmati ketika suam dan baki muffin boleh disimpan di dalam peti sejuk sehingga seminggu. Muffin yang sejuk boleh dipanaskan sebentar dengan cara memanaskan menggunakan microwave, atau dibakar semula pada suhu 150℃ selama 10 minit atau dikukus sebentar.  Atau jika kurang rajin nak panaskan semula, keluarkan muffin dari peti sejuk dan biarkan pada suhu ruang sebelum dinikmati.


Selamat mencuba!



Muffin Pisang Coklat Chip







Kategori : Cupcake

Masa Penyediaan : 15 minit

Masa Membakar : 30-40 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 9 biji muffin



BAHAN-BAHAN



Bahan Ayak :


205 gm tepung gandum | 1 & 2/3 cawan

3 gm baking powder | 1 & 1/2 sudu teh

2 gm baking soda | 1/2 sudu teh

1 gm serbuk kayu manis | 1/2 sudu teh

1/4 sudu teh garam


Adunan Muffin :


80 ml susu segar/susu penuh krim (1/3 cawan)

1/2 sudu besar cuka/ jus lemon

2 ulas pisang saiz besar (masak ranum) | anggaran 295 gm tanpa kulit

65 gm gula perang lembut | 1/3 cawan

50 gm gula pasir halus/gula kastor | 1/4 cawan

125 gm mentega bergaram/ marjerin (cairkan) | 1/2 cawan

2 biji telur gred A (suhu bilik)

1 sudu teh esen vanilla

140 gm coklat chip/ Callebaut dark callets | 3/4 cawan




CARA MEMBUAT


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 180℃.
  2. Sediakan homemade buttermilk dengan mencampurkan susu bersama cuka/jus lemon.  Kacau sebati dan biarkan seketika.
  3. Ayak bersama tepung gandum, baking powder, baking soda dan serbuk kayu manis.  Campurkan garam dan whisk sebati bahan kering. Ketepikan.
  4. Di dalam mangkuk lain, lecek halus pisang menggunakan garfu atau pelecek kentang.  Masukkan telur, gula halus/gula kastor, gula perang, mentega cair dan esen vanilla.  Whisk sehingga sebati.
  5. Masukkan buttermilk dan whisk sebati.
  6. Masukkan bahan ayak dan whisk sebati.
  7. Masukkan coklat chip dan whisk sebati.
  8. Sudukan adunan ke dalam kertas cawan sehingga 2/3 atau 3/4 cawan penuh.  Hiaskan dengan coklat chip jika suka.
  9. Bakar selama 30-40 minit menggunakan api atas bawah pada rak kedua dari bawah sehingga lidi pencucuk/cake tester bersih jika dicucuk di bahagian tengah muffin.
  10. Sejukkan sebentar muffin sebelum dihidangkan.

0 comments :

Post a Comment