Resepi Muffin Coklat Moist Guna Satu Bahan Rahsia

Thursday, September 19, 2024

Resepi Muffin Coklat Moist Guna Satu Bahan Rahsia


 


Assalamualaikum readers...


Resepi muffin coklat kali ini sengaja saya buat untuk menghabiskan stok segala coklat yang ada, lebihan dari buat biskut untuk tempahan.  Malas nak simpan lama-lama dalam peti sejuk, jadi kita buat je lah muffin coklat yang super simple ini tanpa menggunakan mixer dan juga tanpa mentega.

Muffin coklat ini agak istimewa kerana seperti yang saya cakap tadi, saya buat untuk habiskan stok coklat yang ada di rumah, jadi, untuk membuatkan muffin coklat ini berlimpah dan extra rasa coklatnya saya menggunakan empat jenis coklat iaitu serbuk koko, cip coklat separa manis, Callebaut dark callets dan coklat compound susu jenama Van Houten.  

Seperti yang kita tahu, tekstur muffin ini agak mampat kalau dibandingkan dengan kek cawan sebab kita tak pukul adunan sampai kembang, hanya pukul-pukul manja je sekadar sebati.  Pakai spatula atau hand whisk pun boleh.  Tapi kalau buat banyak tu bolehlah pakai stand mixer, lenguh tangan nak mengadun.  Mengambil kira tekstur muffin yang agak mampat, saya tambahkan satu bahan rahsia, iaitu yogurt untuk menjadikan muffin coklat ini lebih moist dan lembut walaupun telah sejuk.  Yogurt ini boleh juga digantikan dengan sour cream, rasanya akan lebih lemak.  Tapi ikut bajet lah ya, pakai yogurt yang penuh susu pun dah sedap dah.


Tonton Video Tutorial di Sini :




Disebabkan muffin ni berperisa coklat, untuk membuatkannya nampak lebih menarik terutama untuk anak-anak, bolehlah tabur dengan cip coklat, kekacang, coklat urai atau nak letak seketul coklat pun boleh.  Saya menggunakan kertas cawan berbentuk segiempat, ala-ala muffin kat Kenny Rogers tu kan, hehe..kalau nak lebih cantik dan menarik muffin coklat ni, boleh pakai kertas cawan yang bentuk tulip tu atau yang berwarna coklat.  

Muffin coklat ini saya suka nikmati ketika suam, sebab ketulan coklat di dalam muffin tu akan cair bila hangat. Jadi sebelum menikmati muffin ini, saya akan bakar sebentar pada suhu 150℃ selama 10 minit, atau sehingga bila kita sentuh muffin terasa hangat.


Cara Menyimpan Muffin Coklat :

Muffin coklat ini boleh bertahan sehingga tiga hari pada suhu bilik, dan boleh tahan sehingga dua minggu dalam peti sejuk.


Cadangan untuk Cara Menghidang Muffin Coklat :

Panaskan sebentar muffin coklat di dalam ketuhar pada suhu 150℃ selama 10 minit, atau boleh menggunakan microwave selama 1 ke 2 minit sebelum dihidangkan.



Muffin Coklat Moist






Kategori : Muffin

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Membakar : 30 minit

Jumlah Muffin : 15 ke 18 biji



Bahan-bahan :


2 biji telur gred A (suhu bilik)

125 ml susu |  1/2 cawan

125 ml minyak sayuran |  1/2 cawan

180 ml yogurt asli atau sour cream |  3/4 cawan

2 sudu teh esen vanilla

170 gm gula perang |  1 cawan

1/2 sudu teh garam

220 gm tepung gandum  |  1 & 3/4 cawan

6 gm baking powder  |  2 sudu teh

3 gm baking soda  |  3/4 sudu teh

60 gm serbuk koko  |  2/3 cawan

80 gm cip coklat gelap  |  1/2 cawan

80 gm Callebaut dark callets  |  1/2 cawan

80 gm coklat compound susu  |  1/2 cawan (potong kecil)



Cara Membuat :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 180℃, 10 ke 15 minit.
  2. Ayak bersama tepung gandum, serbuk koko, baking powder dan baking soda.  Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun, masukkan telur, susu, minyak, yogurt, garam dan gula perang.  Whisk sebati.
  4. Masukkan bahan kering secara bertahap dan whisk sampai tiada lagi tepung yang kelihatan.  Jangan terlebih mix supaya adunan muffin tidak mampat.
  5. Masukkan cip coklat, Callebaut dark callets dan coklat compound susu.  Mix sebati pakai senduk atau spatula.
  6. Alas loyang muffin dengan kertas cawan.
  7. Isi adunan sehingga 3/4 penuh.  Hentak perlahan loyang supaya adunan sekata dan untuk keluarkan gelembung udara dalam muffin.
  8. Tabur dengan hiasan seperti badam cincang, kekacang, cip coklat atau coklat urai jika suka.  Nak letak seketul coklat pun boleh. Ikut citarasa masing-masing.
  9. Bakar selama 25 ke 30 minit, api atas bawah, sehingga lidi pencucuk bersih (masa membakar bergantung kepada saiz muffin).
  10. Muffin siap dihidangkan. Selamat mencuba!






0 comments :

Post a Comment