Sunday, September 24, 2023

Resepi Roti Golok Lembut Sampai 3 Hari Menggunakan Bread Maker


 



Assalamualaikum readers...

Salah satu roti manis yang pernah viral suatu masa dulu ialah roti golok.  Tak pasti kenapa namanya roti golok, tapi roti golok ini memang ramai peminatnya sehingga masih banyak peniaga yang meniaga roti golok di tepi jalan.

Roti golok ini ialah roti manis dan berbentuk simpulan atau braided dengan topping mentega dan disalut dengan gula.  Ada juga yang memanggil roti ini sebagai roti mentega gula atau butter sugar bread.  Tesktur roti lembut dengan serat yang halus.  Saya menggunakan pes tepung atau tangzhong ya sebagai pelembut semula jadi untuk roti ini.  Tesktur roti bukan sahaja lembut, tetapi rasanya sedikit kenyal gitu.

Untuk toppingnya, roti golok akan menjadi lebih sedap jika anda menggunakan mentega bergaram yang tulen manakala untuk salutannya saya menggunakan campuran antara gula kastor dengan susu tepung penuh krim.  Rasa roti ini sungguh lemak, dan lebih sedap jika dinikmati pada hari yang sama roti dibuat.


Tonton Video di Sini :




Tangzhong boleh disediakan lebih awal dan boleh disimpan di dalam peti sejuk.  Tangzhong yang disimpan dalam peti sejuk perlu dikeluarkan 1 ke 2 jam dari peti sejuk sebelum digunakan sehingga Tangzhong berada pada suhu bilik.

Saya menggunakan bread maker untuk menguli doh kerana malas hendak menguli menguli menggunakan tangan.  Lagipun kerja menguli memang lebih mudah kalau menggunakan bread maker, hanya perlu masukkan sahaja semua bahan, kemudian tekan sahaja setting untuk doh dan biarkan mesin menguli sehingga selesai.  Walaupun saya menggunakan bread maker, saya tetap menggunakan cara yang sama seperti saya menguli doh menggunakan tangan atau pun mixer, yang mana mentega atau marjerinnya saya masukkan kemudian, selepas bahan lain sebati dan terbentuk doh yang kasar.  Tujuannya ialah untuk memastikan doh mempunyai jaringan gluten yang maksimum.  Jadi kita uli sebentar doh sebelum kita masukkan mentega atau marjerin.




Cara Menyimpan Roti Golok :

  • Roti golok yang telah sejuk dan belum diletakkan topping boleh disimpan pada suhu bilik sehingga 3 hari dan boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 2 minggu.
  • Roti golok yang belum diletak topping boleh dibakar sebentar pada suhu 150℃ selama 10-15 minit (tutup roti dengan aluminum foil ya supaya tidak kering), kemudian, biarkan sejuk pada suhu bilik, barulah letak topping.
  • Roti golok yang telah diletak topping boleh disimpan pada suhu bilik selama 1 hari dan boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 3 hari. 

Sebaiknya, topping untuk roti golok diletakkan ketika hendak dihidangkan kerana topping gulanya akan cair setelah dibiarkan selama beberapa jam, sama seperti roti mentega gula yang lainnya.  Roti golok ini sedap dinikmati sebagai snek pada bila-bila masa.  Rasanya tidak terlalu manis, kaya dengan rasa mentega dan susu, memang salah satu roti kegemaran saya dan Mr Hubby.

Selamat mencuba!



Roti Golok







Kategori : Roti
Masa Menguli : 20 - 25 minit
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Rehat : 1 jam 15 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : 12 keping





BAHAN-BAHAN




Tangzhong :


16 gm tepung roti | 2 sudu besar
80 ml air | 1/3 cawan


Doh Roti :


135 ml susu segar/susu penuh krim (sejuk/suhu bilik) | 1/3 cawan & 3.5 sudu besar
1 biji telur gred A
3 gm yis segera | 1.5 sudu teh (saya pakai Saf Instant Gold)
48 gm gula pasir | 4 sudu besar
Tangzhong yang telah sejuk
125 gm tepung gandum | 1 cawan
250 gm tepung roti | 2 cawan
20 gm susu tepung penuh krim | 2 sudu besar
1/4 sudu teh garam
45 gm mentega bergaram (lembut)/ marjerin | 3 sudu besar



Topping :


100 gm gula kastor/ gula pasir halus | 1/2 cawan
65 gm susu tepung penuh krim | 1/2 cawan
Anggaran 50-80 gm mentega bergaram lembut




CARA MEMBUAT




Tangzhong :


  1. Sebatikan tepung roti dengan air.
  2. Kacau sehingga sebati dan tidak berketul.
  3. Masak menggunakan api sederhana rendah sehingga pekat seperti pes.  Kacau selalu supaya bahagian bawah tidak hangus.
  4. Pindahkan ke dalam mangkuk tahan panas dan biarkan pada suhu bilik sehingga sejuk, atau boleh tutup mangkuk dengan cling wrap/penutup dan simpan dalam peti sejuk sehingga 3 hari.




Doh Roti :


  1. Di dalam mangkuk bread maker, masukkan susu, telur, gula dan yis.  Aduk sebentar menggunakan spatula.
  2. Masukkan tepung gandum, tepung roti, tangzhong yang telah sejuk dan garam.
  3. Pilih menu "Dough" dan biarkan mesin menguli selama 6 ke 7 minit, sehingga doh kasar terbentuk.  Perhatikan mesin sekali-sekala, tambah sedikit susu jika doh terlalu kering atau tambah sedikit tepung gandum/roti jika doh terlalu lembik.
  4. "Pause" mesin sebentar dan masukkan mentega lembut/marjerin. Sambung uli sehingga selesai.  Sekali-sekala tolak adunan ke tengah supaya mentega/marjerin mudah sebati dengan doh.
  5. Setelah siap, keluarkan doh dari mangkuk bread maker ke atas papan pencanai.



Membentuk Roti :


  1. Bahagikan doh kepada 36 bahagian sama rata (anggaran 20 gm setiap bahagian) kemudian bulat-bulatkan.
  2. Tutup bebola doh kecil dengan kain bersih atau plastik dan rehatkan 15 minit.
  3. Selepas 15 minit, ambil 3 biji bebola doh yang pertama kemudian panjangkan menjadi anggaran 18 cm.  Pastikan ketiga-tiga doh ini sama panjang.
  4. Susun ketiga-tiga doh secara menegak dan selari (jarakkan lebih kurang 1 cm antara doh).
  5. Satukan ketiga-tiga bahagian hujung doh sebelah atas.  Silangkan hujung satu doh dengan doh yang di tengah. Kemudian silangkan doh yang di tengah dengan doh bahagian hujung satu lagi.
  6. Teruskan menyilang doh seperti bentuk braid sehingga habis.  Picit bahagian hujung doh supaya tidak terbuka.
  7. Susun di atas loyang pembakar yang digris mentega/marjerin atau di alas dengan kertas baking.
  8. Ulang sehingga selesai.
  9. Tutup roti dengan plastik dan rehatkan 1 jam, sehingga roti mengembang 2 kali ganda.



Membakar Roti :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 190℃, 10 ke 15 minit sebelum tamat waktu proofing roti.
  2. Selepas 1 jam, oles permukaan roti dengan susu dan bakar pada suhu 190℃, 15 ke 20 minit, atau sehingga permukaan roti berwarna keemasan dengan menggunakan api atas bawah, rak tengah/kedua dari bawah.
  3. Setelah roti masak, oles tipis permukaan roti dengan mentega/marjerin sementara roti masih panas, kemudian tutup roti dengan cling wrap atau tuala bersih.  Tujuannya supaya roti lembut dan tidak kering.  Biarkan roti sejuk.



Menyiapkan Topping :


  1. Masukkan susu tepung dan gula kastor/gula pasir halus ke dalam bekas bertutup kemudian goncangkan beberapa kali.
  2. Siap untuk digunakan.



Meletak Topping pada Roti :


  1. Oles permukaan roti yang telah sejuk dengan mentega yang lembut.  Boleh letak tebal supaya lebih sedap.
  2. Tekapkan permukaan roti dengan topping, goncang-goncang sedikit supaya toppingnya tebal.
  3. Roti siap untuk dihidangkan.





Wednesday, September 6, 2023

Resepi Bahulu Pandan Tradisional


 



Assalamualaikum readers...


Resepi kali ini agak istimewa kerana setelah cubaan ketiga barulah saya mendapatkan formula yang tepat untuk mendapatkan tekstur bahulu pandan yang menepati citarasa.  Bahulu pandan merupakan salah satu snek tradisi yang sentiasa menjadi kegemaran ramai.  Walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai jenis pencuci mulut dan kek seperti kek swiss roll, kek lapis mahupun kek yang dihias dengan pelbagai jenis krim dan topping, namun bahulu tetap mempunyai ramai peminatnya.

Adunan bahulu asas terdiri daripada tiga jenis bahan sahaja - telur, gula dan tepung.  Adunannya ringan, tidak menggunakan banyak tepung dan bergantung sepenuhnya kepada telur sebagai pengembang, tidak menggunakan baking powder atau bahan penaik lain.

Cara membuat adunan bahulu sebenarnya lebih kurang sama dengan cara membuat adunan kek span.  Telur dan gula perlu dipukul sehingga betul-betul mengembang dan kental, sebelum dicampur dengan tepung.  Dalam resepi bahulu pandan ini, saya menggunakan ekstrak pandan homemade kerana rasa pandannya lebih kuat dan tidak memerlukan kuantiti yang banyak seperti jus pandan. 

Semak blog post saya sebelum ini untuk mendapatkan cara membuat 

ekstrak pandan homemade :  Ekstrak Pandan Homemade




Sebenarnya, sebelum saya upload tutorial bahulu pandan ini, saya telah cuba menggunakan acuan bahulu.  Walaupun acuan telah saya panaskan dan dioles minyak, tetap saja bahulu melekat pada acuan dan susah untuk dikeluarkan.  Dua kali cubaan tetap juga sama hasilnya.  


Tonton Video di Sini :




Saya ada google tips supaya bahulu tidak melekat pada acuan, antaranya ialah :

  • Acuan bahulu jangan dibasuh, hanya perlu dilap sahaja dengan kain tebal untuk membersihkannya.
  • Acuan bahulu perlu dijemur di bawah cahaya matahari supaya betul-betul kering, kemudian setelah dijemur, acuan disapu dengan minyak panas dan kemudian barulah disimpan.
  • Acuan perlu dipanaskan terlebih dahulu, kemudian dioles dengan minyak sebelum digunakan.
Tips yang pertama dan kedua tu saya tak buat, saya buat tips yang ketiga sahaja.  Tetapi saya tidak tahu di mana silapnya, bahulu tetap melekat pada acuan. Akhirnya, saya malas nak gunakan acuan bahulu tu, sudahnya saya pakai sahaja acuan muffin mini silikon ni, lagi mudah nak keluarkan.  Rasanya tetap sama dengan tekstur yang garing di luar dan lembut bak kapas di dalam.

Mungkin lain kali saya akan cuba lagi membuat bahulu menggunakan acuan bahulu.  Kalau menjadi, saya akan kongsikan resepinya nanti ya.  Resepi bahulu pandan yang menggunakan jus pandan segar ini sebenarnya telah direquest oleh seorang subscriber saya beberapa bulan lepas, saya tangguh dahulu kerana nak study resepinya dahulu.  Kalau menggunakan pes pandan memang mudah, tetapi kalau menggunakan jus pandan memang kena sesuaikan resepi untuk memastikan hasil bahulu pandan kita menepati citarasa dari segi rasa dan teskturnya.

Kalau anda tidak mempunya acuan bahulu atau acuan mini muffin seperti saya, boleh sahaja kalau nak bakar dalam kertas cawan ataupun loyang ya.  Cara untuk kita tahu sama ada adunan bahulu menjadi atau tidak ialah, adunan bahulu sepatutnya ringan dan tidak menjadi mampat seperti pes ya, jika telah menjadi mampat bermakna gelembung udara daripada telur yang dipukul sebelumnya telah pecah.  Kalau adunan sudah jadi seperti ini, tidak usah teruskan untuk membuat bahulu, sebaiknya adunan dijadikan seperti bingka sahaja ya.  Bakar atau kukus juga boleh.






Ada beberapa tips supaya adunan bahulu menjadi, antaranya ialah :

  • Gunakan telur pada suhu bilik.
  • Telur dan gula perlu dipukul dengan kelajuan agak tinggi sehingga mengembang dalam 3 kali ganda daripada isipadu asal.
  • Setelah itu, turunkan kelajuan mixer dan pukul adunan telur selama 1 ke 2 minit, tujuannya supaya adunan telur stabil dan tidak cepat jatuh setelah kita masukkan tepung.
  • Tepung digalakkan untuk disangai atau dibakar sebentar, selain supaya bahulu tahan lebih lama, tepung yang dibakar atau disangai ini akan menjadi lebih ringan.  Kemudian, tepung perlu diayak ya supaya menjadi lebih ringan.
  • Tepung jangan dimasukkan sekaligus, sebaliknya perlu dimasukkan secara bertahap dan kaup balik perlahan tapi cepat supaya gelembung udara yang terhasil dalam adunan tidak pecah.  Ingat, kita tidak menggunakan sebarang pengembang dalam resepi ini.

Jika anda suka makan bahulu tradisional ini, lepas ni bolehlah cuba membuatnya sendiri di rumah ya.  Rasa bahulu pandan ini sedap dan tidak kering, walaupun tidak menggunakan minyak atau pelembut seperti ovalet.  Bahulu pandan ini enak dinikmati sebagai sajian untuk minum petang.

Selamat mencuba!



Bahulu Pandan 








Kategori : Kuih Melayu
Masa Penyediaan : 20 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : Anggaran 50 keping




BAHAN-BAHAN :




5 biji telur gred A (suhu bilik)
1/4 sudu teh garam
180 gm gula pasir halus/ gula kastor | 3/4 cawan & 2.5 sudu besar
165 gm tepung gandum | 1 cawan & 5 sudu besar
7 gm tepung beras | 1 sudu besar
1-2 helai daun pandan (potong pendek)
30 gm krim santan KARA | 2 sudu besar
30 ml ekstrak pandan | 2 sudu besar
Coklat urai secukupnya





CARA MEMBUAT :


  1. Masukkan tepung gandum, tepung beras dan daun pandan yang dipotong pendek ke dalam kuali.  Sangai dengan api sederhana selama 5 minit.
  2. Tepung boleh dibakar menggunakan ketuhar pada suhu 160℃ selama 5 minit, kacau tepung sekali-sekala supaya sebati.
  3. Ayak tepung yang disangai/dibakar tadi dan ketepikan.
  4. Di dalam sebuah mangkuk, pukul telur dan garam dengan kelajuan sederhana sehingga berbuih.
  5. Masukkan gula dan pukul dengan kelajuan sederhana tinggi sehingga mengembang tiga kali ganda.
  6. Setelah itu, turunkan kelajuan dan pukul dengan kelajuan rendah selama 2 minit.
  7. Panaskan ketuhar pada suhu 180℃. 
  8. Jika menggunakan acuan bahulu, oles acuan dengan sedikit minyak dan panaskan di dalam ketuhar sehingga sedia untuk digunakan.
  9. Campurkan krim santan dengan ekstrak pandan.
  10. Masukkan 1/3 tepung yang diayak, diikuti dengan 1/2 campuran pandan. Kaup balik dengan perlahan menggunakan spatula atau balloon whisk sehingga sebati sahaja.  Campur sehingga habis mengikut turutan ini : tepung - campuran pandan - tepung - campuran pandan - tepung.
  11. Sembur acuan mini muffin silikon dengan cooking spray atay oles nipis dengan minyak supaya mudah untuk mengeluarkan bahulu.
  12. Sudukan adunan ke dalam lubang mini muffin sehingga hampir penuh. 
  13. Hias dengan coklat urai jika suka.
  14. Bakar selama 20 ke 22 minit menggunakan api atas bawah, pada rak kedua dari bawah sehingga permukaan bahulu kecoklatan.
  15. Setelah masak, tunggu sebentar kemudian bolehlah dikeluarkan dari acuan.
  16. Oles semula acuan bahulu atau mini muffin dengan sedikit minyak sebelum digunakan semula.
  17. Bahulu sedia untuk dihidangkan.






Resepi Cheesecake Brownies


 



Assalamualaikum readers...


Cheesecake brownies, sejenis brownies yang mempunyai dua lapisan - lapisan brownies di bahagian bawah manakala lapisan atasnya ialah krim keju.  Tekstur browniesnya boleh jadi fudgy, chewy ataupun cakey.  Dalam resepi cheesecake brownies ini, tesktur browniesnya agak fudgy ya, ditambah dengan lapisan krim keju yang lemak dan sedikit masam, jadi rasa coklat dan manis pada brownies diseimbangkan dengan rasa krim keju.




Cheesecake brownies ini sebenarnya boleh dikukus atau dibakar, tetapi rasanya sebenarnya lebih harum kalau dibakar kerana tekstur yang sedikit garing.  Anda boleh menggunakan loyang segiempat bersaiz 8 x 8 inci atau pun menggunakan loyang sekat yang khas untuk brownies supaya lebih mudah, tak perlu nak dipotong.  Saya menggunakan loyang brownies mini yang saya beli dua tahun lepas, tapi belum pernah lagi digunakan.  Jadi kita rasmikan dengan cheesecake brownies ni lah.


Tonton Video di Sini :



Cheesecake brownies ini sedap dinikmati ketika suam kerana teskturnya lebih lembut dan sedikit gooey. Cheesecake brownies boleh disimpan sehingga dua minggu di dalam peti sejuk.  Simpan di dalam bekas yang bertutup supaya permukaan brownies tidak menjadi kering.  Untuk memanaskan, boleh bakar sebentar di dalam ketuhar bersuhu 150℃ selama 10 ke 15 minit, atau sehingga browniesnya menjadi hangat.  Tutup permukaan brownies dengan aluminum foil supaya permukaan brownies tidak kering.

Kerana rupanya yang menarik ditambah dengan rasanya yang sedap, cheesecake brownies ini sangat sesuai dijadikan sebagai buah tangan untuk yang tersayang atau dijadikan sebagai snek sampingan untuk pelbagai jenis jamuan.

Selamat mencuba!




Cheesecake Brownies




Kategori : Brownies

Masa Penyediaan : 15 minit

Masa Membakar : 20 minit

Jumlah Hidangan : 12 keping



BAHAN-BAHAN


Lapisan Brownies :


160 gm coklat compound gelap | 1 cawan

70 gm mentega bergaram/marjerin | 1/3 cawan

60 ml minyak jagung/ minyak sayuran tanpa bau | 1/4 cawan


2 biji telur gred A (suhu bilik)

1/8 sudu teh garam

100 gm gula kastor/gula pasir halus | 1/2 cawan

62 gm gula perang lembut | 1/4 cawan & 1 sudu besar

1 sudu teh esen vanilla

125 gm tepung gandum | 1 cawan

35 gm serbuk koko | 1/3 cawan



Lapisan Keju :


170 gm krim keju lembut | 3/4 cawan

25 gm gula kastor/gula pasir halus | 2 sudu besar

1/2 sudu teh esen vanilla

1 biji telur gred A (suhu bilik)

8 gm tepung gandum | 1 sudu besar




CARA MEMBUAT :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 165℃.
  2. Di dalam mangkuk tahan panas, campurkan coklat compound gelap yang dipotong kecil, minyak jagung dan mentega.  Cairkan dengan kaedah bain marie.  Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk lain, whisk bersama telur, garam, gula pasir/kastor dan gula perang sehingga sebati dan gula hampir hancur.  Jangan terlebih whisk ya supaya tidak terlalu banyak udara yang masuk ke dalam adunan, kalau tidak brownies akan mengembang seperti kek.
  4. Masukkan adunan coklat yang dicairkan tadi, pastikan adunan coklat telah hampir sejuk supaya telur tidak masak.
  5. Masukkan esen vanilla. Whisk sebati.
  6. Ayakkan tepung gandum bersama serbuk koko ke dalam adunan, whisk sebati.
  7. Lenser loyang brownies mini dengan mentega atau semburkan cooking spray.
  8. Sisihkan dalam 1 sudu besar penuh adunan brownies untuk membuat hiasan.
  9. Sudukan adunan brownies ke dalam setiap lubang loyang sehingga separuh atau 2/3 penuh.  Ratakan sedikit permukaan brownies menggunakan offset spatula.
  10. Jika menggunakan loyang 8x8 inci, alas bahagian bawah dan sisi loyang dengan kertas baking supaya mudah untuk mengeluarkan brownies kemudian tuangkan adunan brownies dan ratakan.
  11. Di dalam mangkuk, lembutkan krim keju menggunakan spatula.
  12. Masukkan gula dan whisk sehingga berkrim.
  13. Masukkan telur dan esen vanilla, whisk sehingga sebati.
  14. Masukkan tepung gandum dan whisk sebati.
  15. Sudukan adunan krim keju di atas adunan brownies, atau tuang di atas adunan brownies jika menggunakan loyang.  Kemudian ratakan.
  16. Sudukan adunan brownies yang disisihkan tadi kemudian lorekkan untuk membuat corak.
  17. Bakar pada suhu 165℃ selama 20-25 minit, api atas bawah, rak kedua dari bawah.
  18. Setelah masak, sejukkan sebentar sebelum dikeluarkan dari loyang supaya brownies tidak pecah.
  19. Jika menggunakan loyang, potong setelah brownies agak sejuk.
  20. Sedia untuk dihidangkan.




Saturday, September 2, 2023

Resepi Roti Ham and Cheese



 Assalamualaikum readers...

Salah satu roti savory yang menjadi kegemaran ramai ialah roti ham and cheese.  Roti yang ala bakeri ini rasanya enak, ditambah pula dengan lapisan keju cheddar dan disalut pula dengan keju parmesan.  Tesktur roti ini lembut dan gebu, walaupun hanya diuli pakai tangan.



Doh roti ini menggunakan straight dough, iaitu doh yang disiapkan pada waktu yang sama dan terus digunakan.  Doh jenis ini tidak menggunakan doh lama, atau sponge dough, dan juga doh pemula (dough starter) seperti doh masam (sour dough).  Doh seperti ini lebih ringkas dan rasanya juga sedap asalkan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti.


Tonton Video di Sini :



Roti ham and cheese ini menggunakan ham ayam yang telah dikukus terlebih dahulu supaya tahan lebih lama dan tidak cepat basi.  Saya menggunakan ham ayam dari jenama Ayamadu, hamnya agak tebal, jadi saya hanya menggunakan separuh bahagian sahaja untuk setiap roti.  Kalau ham ayam yang anda gunakan itu nipis, letak sekeping ham ayam yang telah dibelah dua untuk setiap roti ya.  Rasa roti ham and cheese ini lemak masin ya, tidak pedas kerana tidak menggunakan sos cili.  Jadi memang sesuai dibuat untuk anak-anak kerana tidak pedas.




Cara Menyimpan Roti Ham and Cheese :

  • Simpan roti yang telah sejuk di dalam bekas bertutup atau plastik yang diseal.  Roti boleh bertahan selama 2 hari pada suhu bilik.
  • Roti boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 1 minggu.
  • Untuk memanaskan semula roti, bakar sekejap roti pada suhu 150℃ selama lebih kurang 10 minit.  Tutup permukaan roti dengan aluminum foil supaya permukaannya tidak keras. 
  • Selain itu, boleh juga dipanaskan menggunakan microwave selama beberapa saat, atau sehingga roti menjadi hangat.
Sebelum ini saya pernah berkongsi resepi roti ham and cheese dengan olahan bentuk roti yang berlainan.  Roti ham and cheese kali ini lebih istimewa kerana disalut dengan serbuk keju parmesan.  Jika anda memang peminat roti ham and cheese, bolehlah cuba membuatnya sendiri di rumah lepas ni.

Selamat mencuba!




Roti Ham and Cheese








Kategori : Roti
Masa Penyediaan : 45 minit
Masa Rehat : 2 jam 10 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : 10 keping




BAHAN-BAHAN




Doh Roti :



160 ml susu segar/susu penuh krim (suam kuku) | 2/3 cawan
1 biji telur gred A
30 gm gula pasir | 2 & 1/2 sudu besar
4 gm yis kering segera | 2 sudu teh
65 gm tepung gandum | 1/2 cawan
250 gm tepung roti | 2 cawan
3 gm garam | 1/2 sudu teh
30 gm mentega (lembut) / marjerin | 2 sudu besar



Bahan Lain :



5 atau 10 keping ham ayam belah dua & kukus 10 minit)
10 keping keju cheddar (belah dua)
Mayonis
Parsley kering
Serbuk parmesan
1/2 biji telur + 1/2 sudu besar susu segar/penuh krim
Mentega/marjerin cair untuk olesan roti





CARA MEMBUAT




Doh Roti :



  1. Di dalam mangkuk pengadun, satukan susu, telur, gula pasir dan yis segera.  Kacau sebati.
  2. Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam, adun dengan spatula/senduk sehingga tepung menyerap cecair.
  3. Kemudian, adun pakai tangan sehingga doh kasar terbentuk.
  4. Tutup mangkuk dengan tuala bersih dan rehatkan selama 20 minit.
  5. Selepas 20 minit, uli doh sebentar untuk mengeluarkan gas. Doh sudah sedikit elastik ketika ini.
  6. Tambahkan mentega/marjerin dan adun sehingga mentega/marjerin menyerap ke dalam doh.
  7. Pindahkan doh ke atas papan pencanai yang ditabur sedikit tepung dan uli sehingga doh menjadi elastik dan permukaan doh licin. Untuk lebih mudah, uli dengan cara "slap and fold". 
  8. Setelah itu, bulatkan doh dan masukkan semula ke dalam mangkuk pengadun yang telah dioles dengan sedikit minyak supaya mudah untuk mengeluarkan doh nanti.
  9. Tutup mangkuk dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan selama 1 jam atau sehingga doh mengembang dua kali ganda.




Membentuk Roti :



  1. Selepas 1 jam, terbalikkan doh di atas papan pencanai yang telah ditabur tepung.
  2. Tekan-tekan doh untuk keluarkan gas dan bahagikan kepada 10 bahagian (Anggaran 57 gm setiap bahagian).
  3. Tekan-tekan setiap doh kecil kemudian bulatkan.
  4. Susun di atas permukaan yang telah ditabur tepung.
  5. Tutup dan rehatkan selama 15 ke 20 minit supaya mudah untuk mencanai doh.
  6. Selepas 15 minit, ambil doh yang pertama dibulatkan kemudian letakkan di atas papan pencanai yang ditabur sedikit tepung.
  7. Canai menjadi bentuk segiempat panjang berukuran anggaran 10 x 18 cm.
  8. Jika menggunakan separuh ham untuk setiap doh kerana hamnya tebal, letakkan separuh bahagian keju cheddar di tengah doh, paipkan mayonis, kemudian letakkan separuh ham, paipkan mayonis di atasnya, kemudian letakkan sebahagian lagi keju cheddar.
  9. Jika menggunakan sekeping ham untuk setiap doh, letakkan separuh ham dahulu di tengah doh, kemudian paipkan mayonis, diikuti dengan separuh keju cheddar, paipkan mayonis, letakkan separuh ham lagi, paipkan mayonis dan diikuti dengan separuh lagi keju cheddar.
  10. Lipat doh ke dalam seperti melipat surat.  Picit bahagian hujung doh supaya lipatan tidak terbuka.
  11. Oles permukaan doh dengan campuran telur dan susu.
  12. Kemudian salut dengan serbuk parmesan.  Buang lebihan serbuk parmesan menggunakan berus baking.
  13. Susun di atas loyang pembakar yang dioles sedikit mentega/ dialas dengan kertas baking.  Letakkan jarak antara doh supaya roti tidak melekat antara satu sama lain.
  14. Tutup doh roti dan rehatkan selama 40 ke 50 minit, sehingga doh mengembang sebanyak dua kali ganda.




Membakar Roti :



  1. Panaskan ketuhar pada suhu 190℃ 15 minit sebelum habis masa rehat yang kedua.
  2. Kelar bahagian tengah roti menggunakan pisau nipis dan tajam.
  3. Paipkan mayonis di bahagian tengah roti.
  4. Bakar selama 15-20 minit, menggunakan api atas bawah pada rak tengah/kedua dari bawah.
  5. Setelah roti masak, oles permukaan roti dengan mentega/marjerin cair.
  6. Tabur parsley kering di atas mayonis.
  7. Roti siap untuk dihidang.






Friday, September 1, 2023

Cara Membuat Ekstrak Pandan dari Daun Pandan


 


Assalamualaikum readers...


Biasanya kalau kita nak guna jus pandan dalam apa jua resepi, seperti kuih talam, apam dan kek, kita akan gunakan jus pandan yang diambil dari daun pandan yang dikisar bersama air kemudian ditapis sebelum digunakan.  Jus pandan ini warnanya lebih kelam, dan lebih cair, bergantung juga kepada berapa banyak daun pandan yang digunakan.



Beberapa bulan lepas saya mendapat request untuk resepi bahulu tradisi yang menggunakan jus pandan.  Lama saya biarkan sebab nak ambil masa untuk berfikir dan mencipta resepi.  Saya kurang mahir membuat kuih tradisi macam bahulu ni, sebab tu kena ambil masa sedikit untuk membuat eksperimen. Hehe... Setahu saya, adunan bahulu ni lebih kurang sama dengan adunan kek span atau genoise, yang tak menggunakan minyak.  Kuantiti tepungnya juga sedikit supaya bahulu tidak mampat.  Kalau ikut resepi bahulu asli, baking powder atau ovalet tidak digunakan.  Memang bahan asasnya ada tiga sahaja - tepung, telur dan gula.  Dalam pada berfikir nak cipta resepi ni, saya terfikir hendak menggunakan ekstrak pandan sebab rasa pandannya lebih pekat dan tidak perlu letak banyak seperti kalau kita gunakan jus pandan.  Jadi, hasil carian beberapa resepi di google, saya adaptasi sedikit tentang cara-cara membuat ekstrak pandan yang mudah di rumah.


Tonton Video di Sini :




Perbezaan antara ekstrak pandan dengan jus pandan ialah, ekstrak pandan ialah mendapat yang terhasil apabila jus pandan direhatkan dalam peti sejuk selama sekurang-kurangnya 24 jam.  Selepas jus pandan direhatkan, anda akan dapati akan ada dua lapisan, lapisan bawah yang berwarna hijau gelap manakala lapisan atas berwarna hijau muda atau kekuningan.  Semakin lama jus pandan direhatkan, ekstrak pandan akan menjadi lebih pekat.  Sementara jus pandan tadi ialah jus yang terhasil apabila daun pandan dikisar bersama air.  Jus pandan tidak perlu direhatkan dan boleh terus digunakan.  Jadi, kepekatan jus pandan lebih cair berbanding ekstrak pandan dan perlu letak dalam kuantiti yang lebih banyak untuk mendapatkan rasa pandan yang lebih menyerlah.

Ekstrak pandan ni banyak kegunaannya.  Antaranya ialah untuk membuat kek mentega, pandan buttercream, kek chiffon, muffin, roti, bahulu pandan atau kuih muih seperti apam puteri ayu.

Ekstrak pandan ini boleh bertahan dalam 5 hari dalam peti sejuk.  Semakin lama ekstrak pandan ini disimpan, maka ekstraknya akan menjadi semakin pekat ya.

Selamat mencuba!



Ekstrak Pandan





Kategori : Lain-lain

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Rehat : 24-48 jam

Jumlah Hidangan : Anggaran 85 ml ekstrak pandan



BAHAN-BAHAN :


100 gm daun pandan (anggaran 25-30 helai daun pandan)

500 ml air (2 cawan)



CARA MEMBUAT :


  1. Basuh bersih daun pandan. Buang bahagian hujung yang berwarna coklat dan bahagian pangkal yang berwarna putih kerana rasanya agak pahit.
  2. Potong daun pandan pendek-pendek.
  3. Masukkan ke dalam pengisar dan tambahkan air.
  4. Kisar sehingga daun pandan halus.
  5. Tapis jus pandan dengan menggunakan penapis berjaring halus.
  6. Tuang jus pandan ke dalam botol dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 24 jam.
  7. Selepas 24 ke 48 jam, buang lapisan atas yang berwarna hijau muda atau kekuningan.
  8. Ekstrak pandan ialah mendapan berwarna hijau tua yang terdapat di bahagian bawah.
  9. Ekstrak pandan boleh terus digunakan atau disimpan dalam peti sejuk.

Saturday, August 19, 2023

Resepi Kuih Putri Ayu Jagung


 


Assalamualaikum readers...


Kuih putri ayu, atau puteri ayu merupakan salah satu kuih tradisional yang tak kurang ramai penggemarnya.  Kuih putri ayu dikukus dengan menggunakan acuan khas untuk mendapatkan bentuknya yang unik.  Kuih putri ayu terdiri dari dua lapisan, lapisan atasnya ialah kelapa parut yang sedikit masin manakala lapisan bawahnya ialah adunan kuihnya yang lemak manis.  Kuih putri ayu biasanya berperisa pandan, ada yang menggunakan jus pandan segar atau boleh juga menggunakan pes pandan, atau perisa pandan. 

Resepi kuih putri ayu kali ini ialah putri ayu jagung.  Saya menggunakan jagung kernel dalam tin yang dikisar halus untuk membuat adunan putri ayu.  Untuk menambah rasa jagung, saya tambahkan emulco jagung atau anda boleh juga pakai esen jagung tu ya.  Fungsinya sama sahaja cuma esen jagung biasanya berwarna jernih, jadi anda boleh lebihkan sedikit pewarna kuning supaya warna putri ayu jagungnya menyerlah dan cantik.


Tonton Video di Sini :




Cara untuk menyediakan putri ayu jagung ini sama saja seperti cara menyediakan putri ayu pandan.  Kelapa parut yang telah dicampur dengan sedikit garam dan tepung ubi ditekan ke dalam acuan putri ayu kemudian dikukus sebentar supaya lapisan kelapa tidak cepat basi.  Selain cara ni, kelapa parut yang telah digaul bersama garam dan tepung ubi boleh dikukus terlebih dahulu sebelum ditekan ke dalam acuan.  Terpulang kepada kebiasaan masing-masing ya.

Adunan untuk putri ayu jagungnya sebenarnya sama seperti membuat adunan untuk membuat kek span.  Telur dipukul bersama ovalet dan gula sehingga mengembang tiga kali ganda dan kental sebelum tepung dan bahan kisar ditambah ke dalam adunan telur secara bertahap.  Adunan perlu dikaup balik sahaja supaya adunan tidak menjadi mampat.




Tips untuk mendapatkan bentuk putri ayu jagung yang cantik :


  • Gunakan kelapa parut yang bahagian putihnya sahaja supaya lapisan kelapanya cantik, dan putih mulus.
  • Lapisan kelapa biasanya 1/3 daripada acuan, manakala 2/3 lagi ialah adunan putri ayunya.
  • Pastikan gula, telur dan ovalet dipukul sehingga betul-betul mengembang dan kental untuk memastikan putri ayu gebu dan tidak mampat.
  • Acuan putri ayu perlu dioles dengan minyak masak supaya kuih tidak melekat pada acuan setelah masak dan seeloknya panaskan acuan sebentar setelah dioles minyak sebelum adunan dituang ke dalam acuan.
  • Penutup pengukus hendaklah dibalut dengan kain atau tuala tebal supaya tiada wap air yang menitik pada permukaan kuih dan jangan buka penutup pengukus sewaktu kuih dikukus supaya kuih mengembang dengan sempurna.
  • Air dalam pengukus perlu didihkan terlebih dahulu sebelum mengukus kuih supaya jumlah wap dalam pengukus mencukupi untuk mengukus kuih.
  • Pastikan api tidak terlalu rendah sewaktu mengukus supaya kuih dapat mengembang dengan sempurna.
  • Keluarkan kuih dari acuan setelah kuih suam atau sejuk supaya bentuknya cantik.
  • Acuan yang akan digunakan semula perlu dioles semula dengan minyak dan keluarkan sisa kuih yang melekat pada acuan kalau ada dengan menggunakan lidi pencucuk.


Baiklah, itulah sedikit-sebanyak tips yang saya boleh kongsikan untuk membuat putri ayu jagung yang mulus dan cantik, nanti bolehlah anda hidangkan untuk minum petang atau boleh juga dijadikan hidangan sampingan untuk jamuan, kalau nak buat untuk jualan juga boleh sangat ya.



Cara menyimpan kuih putri ayu jagung :

  • Kuih putri ayu jagung boleh disimpan di dalam bekas bertutup.  Letak sehelai plastik untuk memisahkan setiap lapisan supaya kuih tidak melekat.
  • Kuih boleh bertahan selama seminggu di dalam peti sejuk, atau sehingga dua bulan jika difrozenkan.
  • Kuih yang frozen boleh terus dikukus semula sehingga lembut.





Kuih Putri Ayu Jagung









Kategori : Kuih Melayu
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Mengukus : 20 minit
Jumlah Hidangan : Anggaran 37 keping





BAHAN-BAHAN





Lapisan Kelapa :




200 gm kelapa parut bahagian putih sahaja | 2 & 1/4 cawan
5 gm garam | 1 & 1/4 sudu teh (atau sesuai citarasa)
8 gm tepung ubi | 1 sudu besar




Adunan Putri Ayu :




250 ml santan pekat (saya pakai 150 ml santan KARA + 100 ml air) | 1 cawan
95 gm kernel jagung (saya pakai jagung dalam tin jenama Hosen) | 1/2 cawan
1/2 sudu teh emulco jagung/ esen jagung
1/2 sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh pewarna kuning telur (atau secukupnya)

2 biji telur gred A (suhu bilik)
10 gm ovalet | 1/2 sudu besar
200 gm gula pasir halus | 1 cawan
250 gm tepung gandum | 2 cawan
3 gm baking powder | 1 sudu teh






CARA MEMBUAT :



  1. Didihkan air secukupnya di dalam pengukus.
  2. Oles acuan putri ayu dengan minyak masak.
  3. Campurkan kelapa parut, garam dan tepung ubi.  Gaul rata kemudian masukkan kelapa ke dalam acuan sehingga 1/3 penuh.  Tekan-tekan supaya padat. Buat hingga selesai.
  4. Kukus selama 5 minit dengan api sederhana.
  5. Kisar halus jagung kernel bersama santan pekat.
  6. Tuang bahan kisar ke dalam mangkuk dan campur bersama emulco/esen jagung, esen vanilla dan pewarna kuning.  Kacau sebati dan ketepikan.
  7. Di dalam mangkuk lain, pukul telur, ovalet dan gula halus sehingga dengan kelajuan tinggi sehingga adunan mengembang tiga kali ganda dan kental.
  8. Ayakkan tepung gandum bersama baking powder dan masukkan tepung sedikit demi sedikit, diselang-selikan bersama bahan basah.
  9. Kaup balik adunan sehingga sebati.
  10. Masukkan adunan ke dalam beg plastik piping jika suka.
  11. Paipkan adunan sehingga hampir penuh ke dalam acuan.
  12. Kukus dengan api sederhana tinggi selama 10-13 minit, atau sehingga bahagian tepi kuih renggang sedikit dari acuan.
  13. Setelah kuih masak, biarkan kuih sejuk sebentar sebelum dikeluarkan.  Umpil kuih menggunakan lidi pencucuk.
  14. Kuih siap untuk dihidangkan .
  15. Baki kuih boleh disimpan dalam bekas bertutup dan boleh disimpan dalam peti sejuk atau difrozenkan.





Thursday, August 17, 2023

Resepi Kek Coklat Oren Dengan Topping Ganache


 



Assalamualaikum readers...


Baru-baru ini viral betul kek coklat ketagih.  Ada apa yang istimewa dengan kek coklat ketagih ni sebenarnya?  Kek coklat ketagih ini ialah kek coklat moist yang dikukus atau dibakar menggunakan loyang segiempat, kemudian dicurah topping coklat ganache yang agak tebal.  Jadi rasanya memang betul-betul nyoklat sih.

Mengambil dari inspirasi kek coklat ketagih yang viral ini, kali ini saya ingin kongsikan resepi kek coklat oren.  Kek coklat oren ini kalau sekilas pandang nampaknya seperti kek coklat ketagih ni saja, tidak nampak perbezaannya disebabkan rupa dan warnanya yang sama.  Apa yang berbeza ialah rasanya, kerana saya menggunakan jus dan parutan kulit buah oren untuk membuat kek dan juga ganachenya.





Kenapa kek coklat oren ini istimewa ialah, pertama, tekstur kek yang begitu moist, dengan kerak kek yang lembut.  Kedua, kombinasi rasa oren pada coklat memang sangat sepadan dan rasanya juga tidak terlalu manis dan tidak terlalu ketara rasa baking sodanya yang boleh membuatkan rasa kek menjadi sedikit pahit.  


Tonton Video di Sini :



Kek coklat oren ini lebih sedap jika dinikmati setelah disejukkan semalaman dalam peti sejuk kerana, pertama, coklat ganachenya telah set, kedua, rasanya telah betul-betul sebati.  Untuk coklat ganachenya, anda boleh menggunakan dark atau milk compound, atau gabungan antara kedua-dua coklat.  Saya menggunakan kombinasi antara dark dan milk compound untuk ganache.  Lapisan topping ganache untuk kek coklat oren ini agak tebal sebenarnya, kalau anda suka yang lebih tipis, boleh kurangkan sukatan coklat menjadi 200-250 gram sahaja.  

Selamat mencuba!




Kek Coklat Oren Dengan Topping Ganache






Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 30 minit

Masa Mengukus : 1 jam

Jumlah Hidangan : 1 buku kek bersaiz 7x7 inci




BAHAN-BAHAN



Kek Coklat Oren Lembap :


190 gm tepung gandum | 1 & 1/2 cawan

65 gm serbuk koko | 3/4 cawan

4 gm baking soda | 1 sudu teh

2 gm garam | 1/2 sudu teh


2 biji telur gred A (suhu bilik)

300 gm gula pasir halus/ gula kastor | 1 & 1/2 cawan

Parutan kulit dari 2 biji buah oren | 1 sudu besar | 12 gm

125 ml minyak jagung/minyak masak tanpa bau | 1/2 cawan

125 ml jus oren segar | 1/2 cawan (saya ambil dari 2 biji buah oren)

1/2 sudu teh esen vanilla

250 ml air panas | 1 cawan



Ganache :


160 gm coklat compound separa manis (semi sweet dark chocolate) | 1 cawan (saya pakai coklat coin Van Houten)

160 gm coklat susu (milk compound) | 1 cup (saya pakai coklat coin Van Houten)

310 ml krim putar tenusu | 1 & 1/4 cawan

15 gm mentega bergaram | 1 sudu besar

Kulit separuh biji buah oren




CARA MEMBUAT



Kek Coklat Oren Lembap :


  1. Didihkan air di dalam pengukus.
  2. Alas loyang 7 x 7 x 3 inci dengan kertas baking.  Alas loyang seperti anda mengalas loyang untuk brownies ya supaya mudah untuk keluarkan kek nanti.
  3. Ayak bersama tepung gandum ,serbuk koko dan baking soda. Whisk sebati bersama garam.  Ketepikan.
  4. Di dalam mangkuk lain, whisk sebati telur, gula, parutan kulit oren, minyak, esen vanilla dan jus oren.
  5. Masukkan bahan kering dan whisk sebati.
  6. Akhir sekali, masukkan air panas dan whisk sehingga sebati sahaja.
  7. Tuang adunan ke dalam loyang.
  8. Hentak perlahan untuk melepaskan gelembung udara di dalam adunan kemudian balut permukaan loyang dengan cling wrap atau aluminum foil supaya wap air tidak terjatuh di permukaan kek.
  9. Kukus kek selama 1 jam, dengan suhu sederhana.
  10. Setelah kek masak, tekan-tekan permukaan kek menggunakan perata kek atau spatula supaya permukaan kek rata.
  11. Biarkan kek sejuk sepenuhnya di dalam loyang.





Ganache :



  1. Masukkan coklat compound ke dalam mangkuk tahan panas.  Kalau pakai coklat bar, potong kecil-kecil supaya coklat mudah cair.
  2. Di dalam periuk kecil, masukkan krim putar dengan kulit oren.
  3. Masak dengan suhu sederhana kecil sehingga hampir mendidih, atau timbul buih-buih kecil di bahagian tepi krim.
  4. Tapis krim ke dalam mangkuk yang berisi coklat tadi dan biarkan coklat cair.
  5. Kacau sekali-sekala sehingga coklat cair sepenuhnya.
  6. Masukkan mentega dan kacau lagi sehingga ganache berkilat.
  7. Biarkan ganache sejuk sebentar.





Persiapan Akhir Kek Coklat Oren :



  1. Setelah ganache hampir sejuk dan sedikit pekat, curahkan ganache ke atas kek.
  2. Ratakan ganache dan pecahkan gelembung kecil menggunakan pencungkil gigi atau lidi pencucuk.
  3. Sejukkan kek semalaman dalam peti sejuk atau sehingga ganache set.
  4. Setelah ganache set, keluarkan kek dari loyang, lepaskan kertas baking dan letakkan kek di atas papan kek.
  5. Potong bahagian tepi kek menggunakan pisau yang panjang dan lap bersih pisau setiap kali selepas memotong.
  6. Potong kek kepada 24 atau 32 bahagian, terpulang kepada citarasa masing-masing.
  7. Simpan kek dalam peti sejuk.







Sunday, August 13, 2023

Resepi Kuih Lompang Pandan


 



Assalamualaikum readers...


Salah satu kuih tradisional yang mudah disediakan ialah kuih lompang.  Biasanya ada tiga variasi kuih lompang yang biasa kita makan, iaitu kuih lompang gula merah, kuih lompang berwarna-warni dan kuih lompang pandan.

Resepi kali ini ialah kuih lompang pandan yang lembut dan harum dengan rasa dari jus pandan segar.  Kuih lompang pandan ini unik bukan saja dari segi rasanya, tetapi juga dari segi rupanya.  Kuih lompang ni istimewa kerana kuih ini dikukus di dalam acuan lompang dan kuih ini akan mempunyai lekuk atau lesung pipit di bahagian tengahnya setelah dikukus.





Rasa kuih lompang pandan ini tidak terlalu manis, dengan rasa harum jus pandan, memang enak jika dipadankan dengan kelapa parut yang lemak dan sedikit masin.  Air kapur penting untuk membuat kuih lompang, sama seperti kuih lopes dan kuih kaswi kerana air kapur memberi rasa yang unik pada kuih lompang.  Tetapi hati-hati jangan sampai terletak lebih pes kapurnya kerana bimbang akan memberi rasa pahit pada kuih lompang.  Ambil sedikit saja pes kapurnya dan selebihnya tambah dengan air. Teskturnya lembut dan sedikit kenyal dan sedap dinikmati ketika sedikit hangat ataupun sejuk.


Cara Menyimpan Kuih Lompang Pandan :

Kuih Lompang Pandan boleh dibiarkan selama satu hari pada suhu ruang, manakala kuih lompang ini boleh disimpan sehingga empat hari di dalam peti sejuk.  Kelapa parutnya perlu dikukus dahulu supaya tidak cepat basi dan hanya salut atau letakkan di atas kuih lompang ketika hendak dihidangkan.

Saya tidak sarankan untuk memfrozen kuih lompang kerana bimbang teksturnya akan berubah.


Tonton Video di Sini :




Jika anda tidak mempunyai acuan kuih lompang, boleh saja adunannya dikukus di dalam loyang biasa.  Cuma lekuk atau lesung pipitnya saja yang tidak akan ada ya.  Rasanya akan tetap sama sedapnya.

Kuih lompang pandan ini sesuai dijadikan sajian pencuci mulut atau dinikmati sebagai sajian minum petang bersama secawan teh.  Selamat mencuba!



Kuih Lompang Pandan




Kategori : Kuih Melayu

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Mengukus : 20 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 16 keping



BAHAN-BAHAN


20 gm daun pandan (10-12 helai untuk saiz kecil atau 5-6 helai untuk saiz besar)

500 ml air (2 cawan)

100 gm gula pasir (1/2 cawan)

15 ml air kapur (1 sudu besar)

170 gm tepung beras (1 & 1/2 cawan)

8 gm tepung ubi/jagung (1 sudu besar)

1/4 sudu teh garam

Sedikit pewarna hijau

Sedikit pewarna kuning telur


Topping :

1 cawan kelapa parut

1/3 sudu teh garam



CARA MEMBUAT


  1. Kisar daun pandan bersama air.  Tapis air daun pandan ke dalam mangkuk pengadun menggunakan penapis berjaring halus.
  2. Masukkan gula, air kapur, tepung beras, tepung ubi atau tepung jagung dan garam.  
  3. Gunakan whisk dan whisk sebati.
  4. Tambah sedikit pewarna hijau dan pewarna kuning telur untuk mendapatkan warna kuih yang cantik.  Whisk sebati.
  5. Tapis adunan ke dalam jug penyukat supaya mudah nak tuang ke dalam acuan lompang nanti.
  6. Didihkan air di dalam pengukus.
  7. Oles acuan lompang dengan minyak masak dan kukus sebentar selama 3 hingga 5 minit.
  8. Tuang adunan lompang sehingga hampir penuh. Jangan lupa kacau dahulu adunan sebelum dituang ke dalam acuan.
  9. Kukus selama 20 hingga 30 minit, dengan api sederhana besar.  Pastikan penutup pengukus dibalut dengan tuala yang tebal supaya wap air tidak menitik pada permukaan kuih.  Jangan buka penutup pengukus sewaktu mengukus kuih supaya lekuk atau lesung pipit terbentuk cantik pada kuih.
  10. Setelah masak, biarkan kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.
  11. Untuk topping, gaul sebati kelapa parut dengan garam dan kukus sebentar selama 5 ke 10 minit.
  12. Hidangkan kuih lompang bersama kelapa parut yang telah dikukus.